PURNAMA sumbang RM90,000 bantu pelajar cemerlang

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Kelantan Darul Naim (PURNAMA) menyumbang RM90,000 bagi membantu pelajar cemerlang tahun ini.

- Advertisement -

Sumbangan berkenaan disalurkan melalui Dermasiswa Purnama 2023 di 14 Parlimen yang melibatkan 180 pelajar.

Timbalan Pengerusi PURNAMA, Datin Hasmani Husain berkata, penyerahan sumbangan itu dibuat di tiga zon, iaitu Zon 3 melibatkan Kuala Krai, Machang, Gua Musang diadakan di Sekolah Menengah Ugama (Arab) As Saadah Mengkebang pada 14 Jun lalu.

Katanya, sumbangan untuk Zon 1 melibatkan Parlimen Ketereh, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kubang Kerian, Bachok, Pasir Puteh diadakan pada 21 Jun lalu di Dewan Dato’ Kadok, Ketereh.

“Zon 2 yang melibatkan Rantau Panjang, Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli di Dewan Komtik, Chetok, baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya setiap pelajar disumbangkan sebanyak RM500 bagi menyediakan keperluan pembelajaran mereka.

Hasmani juga berkata, Kelantan menyediakan pendidikan yang seimbang kepada rakyat melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Katanya, baru-baru ini berlangsung Graduasi Tahfiz YIK yang merekodkan seramai 326 huffaz menerima sijil tahfiz untuk tahun 2022.

“Pencapaian anak-anak hufaz bukan sahaja menguasai bidang akademik, sebaliknya mempunyai nilai tambah sebagai penghafal al Quran,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/6/2023

- Advertisement -