Letupan di restoran China: 31 maut

Letupan dahsyat di sebuah restoran barbeku di Yinchuan, di barat laut China mengorbankan sekurang-kurangnya 31 nyawa pada malam 21 Jun 2023. (FOTO: Twitter@globaltimesnews)
- Advertisement -

YUNCHUAN, China: Sembilan orang telah ditahan berikutan letupan di sebuah restoran barbeku di barat laut China yang mengorbankan sekurang-kurangnya 31 orang.

Kebocoran gas disyaki menyebabkan letupan di bandar Yinchuan pada malam Rabu (21 Jun) waktu tempatan, lapor agensi berita kerajaan China, Xinhua.

“Pemilik Restoran Barbeku Fuyang adalah antara yang ditahan,” lapor agensi berita itu.

Letupan itu berlaku pada malam cuti Festival Bot Naga selama tiga hari di China, ketika ramai keluarga dan rakan berkumpul untuk menjamu selera.

“Beberapa pelajar sekolah menengah dan pesara adalah antara yang maut,” lapor media tempatan itu.

- Advertisement -

“Angka kematian dijangka meningkat ekoran sekurang-kurangnya daripada  tujuh orang cedera, seorang daripadanya berada dalam keadaan kritikal,” lapor Xinhua lagi.

Sehubungan itu, Presiden Xi Jinping telah menyeru ‘usaha habis-habisan’  dalam operasi menyelamat, dalam merawat mangsa yang cedera dan meningkatkan langkah keselamatan, serta siasatan terhadap punca tragedi itu.

“Kita mesti melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan mangsa yang cedera dan meyakinkan keluarga mangsa, mengenal pasti punca kemalangan secepat mungkin, dan dengan serius melaksanakan tanggungjawab mengikut undang-undang,” kata Xi.

Restoran ini adalah sebahagian daripada kumpulan restoran dan tempat hiburan di pusat bandar Yinchuan, ibu kota wilayah autonomi Ningxia.

Stesen penyiaran tempatan, CCTV menyiarkan rakaman lebih sedozen anggota bomba berusaha memadamkan api ketika asap keluar dari lubang yang ternganga di depan restoran terbabit, dengan serpihan kaca dan serpihan lain bersepah di jalan raya.

“Perkhidmatan bomba dan penyelamat menghantar lebih 100 anggota dan 20 kenderaan ke tempat kejadian,” kata Kementerian Pengurusan Kecemasan, yang menyaksikan operasi menyelamat berlanjutan sehingga jam 4 pagi hari ini, Khamis (22 Jun), waktu tempatan.

Menurut siasatan awal pihak bomba, seorang pekerja restoran telah terhidu bau gas bocor kira-kira sejam sebelum letupan dahsyat itu meledak.

“Dia kemudian menemui injap pecah pada tangki gas cecair, dan sedang dalam proses menggantikannya apabila letupan itu berlaku,” lapor Xinhua.

Restoran barbeku adalah lambang ekonomi penjual jalanan China dan kegemaran penduduk tempatan di wilayah barat laut negara itu. – HARAKAHDAILY 22/6/2023

- Advertisement -