RASA ralat, sedih. Banyak permohonan sumbangan yang tidak dapat pihak saya penuhi dalam sebulan dua ini.
Saya mohon maaf banyak-banyak kepada semua yang bertanya dan memohon. Ada individu perseorangan, pertubuhan, persatuan PIBG, sekolah, kelab, kumpulan nelayan, surau, wakil penduduk dan lain-lain.
Kami betul-betul tiada keupayaan untuk membantu dari sudut kewangan. Terpaksa melihat kepada keutamaan. Bagi situasi yang mendesak insya-Allah kami cuba usahakan setakat termampu.
Memang ralat rasanya bila tak dapat penuhi harapan orang.
Dua tiga tahun sebelum ini saya sebolehnya cuba penuhi semua permohonan. Tak boleh banyak, kami bagi sedikit. Sekurang-kurangnya kata orang, tidak pulang tangan kosong.
Sejak tahun lalu apabila peruntukan kami wakil-wakil rakyat bukan kerajaan dinafikan, keadaan jadi sulit.
Realiti ini yang pihak kerajaan gagal untuk faham. Peruntukan yang diharapkan bukan untuk kegunaan kami, sebaliknya untuk kepentingan ramai.
Sewaktu ada sedikit peruntukan sebelum ini, lebih 70 peratus digunakan untuk keperluan dan kepentingan masyarakat.
Tujuan kebajikan sahaja sekitar 40 peratus. Manakala pelbagai sumbangan pula sekitar 30 peratus. Kami ada rekod dan tiada masalah untuk bentangkannya kepada umum.
Saya manfaatkan sepenuhnya kemudahan dan kelebihan yang ada sebelum ini untuk kepentingan awam. Bukan dari aspek kewangan sahaja, malah hubungan baik dengan agensi-agensi kerajaan. Ia peluang untuk kami buat sehabis baik untuk rakyat.
Sebab itu saya sedih dan kecil hati apabila YAB Menteri Besar sebut sebelum ini, ada peruntukan yang diberikan kepada wakil-wakil rakyat PAS digunakan untuk Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor.
Sedangkan semua tuntutan perbelanjaan dikemukakan kepada Pegawai Kewangan Negeri dengan lengkap termasuk bil-bil dan dokumen berkaitan.
Apa sekalipun, ini semua adalah sebahagian daripada ujian serta cabaran kepada amanah dan tanggungjawab yang kami galas. Doakan kami terus diberikan kekuatan.
Cuma harapan saya, pihak-pihak yang mengharapkan bantuan atau sumbangan daripada saya khususnya dalam bentuk kewangan dapat memahami kedudukan kami ketika ini yang sangat terbatas.
Insya-Allah jika ada keupayaan di kemudian hari kami akan cuba penuhi setakat termampu. Salam hormat buat semua.
YB ANDANSURA RABU
ADUN Beserah – HARAKAHDAILY 22/6/2023
Usaha bantu rakyat biarpun kemampuan terbatas
- Advertisement -