Orang ramai terkejut bil elektrik naik mendadak

Nur Habibi Qalbi menunjukkan resit bil elektriknya yang mencecah RM600. (FOTO: Tangkapan skrin Facebook Nur Habibi Qalbi)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga telefon pintar di Gombak, Selangor, Fadzli Bakri yang mendakwa  bil bulanan elektrik di kedainya naik mendadak memohon agar pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kerajaan memberikan penjelasan yang munasabah buat rakyat marhaen seperti dirinya.

- Advertisement -

Menurutnya, ia adalah satu penindasan dalam senyap kerana akan menjejaskan sumber pendapatannya.

“Biasanya, bil elektrik saya setiap bulan (sehingga Mei 2023) tidak pernah melebihi RM270, yang mana saya cukup berhati-hati dalam penggunaan elektrik,” katanya.

Tangkapan skrin luahan pengguna akaun sosial Facebook dikenali sebagai Faridatul Atull.

Dia memberitahu bahawa penggunaan elektrik tertinggi kedainya itu hanya pernah mencecah  RM300 pada tahun lepas.

Namun, Fadzil terkejut apabila dia mendapati bil elektrik untuk bulan Jun telah meningkat secara mendadak kepada RM349.

“Ini benar-benar mengejutkan saya dan apabila TNB datang untuk semak semula meter elektrik saya, mereka kata tiada sebarang kerosakan berlaku, tetapi anehnya bil elektrik tetap naik.

“Jadi, saya merujuk ke laman sosial TNB Careline dalam Facebook untuk melihat sama ada perkara ini berlaku kepada orang lain dan ternyata, ramai juga mengadu masalah yang sama,” katanya.

Fadzil Bakri terkejut apabila mendapati bil elektrik di kedainya pada bulan Jun 2023 meningkat RM349 berbanding RM270 pada Mei tahun ini. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emri)

Penindasan dalam senyap

Bukan sekadar di Lembah Klang, tetapi boleh dikatakan orang ramai di negeri-negeri lain termasuk Johor dan Selangor turut meluahkan perasaan tidak puas hati mereka, khususnya melalui Facebook terhadap kenaikan bil elektrik secara mendadak itu.

Antara pengguna akaun sosial Facebook yang membuat aduan mengenai isu kenaikan bil elektrik ialah Yana Joe’s, Faridatul Atull, Cik Puan Atiqah Rahani dan Nur Habibi Qalbi.

Mereka turut menyatakan ia adalah satu bentuk penindasan dalam senyap terhadap rakyat kerana walaupun penggunaan elektriknya sama seperti biasa tetapi bil elektrik tetap naik secara berlebihan.

Menurut Faridatul Atull dari Johor di laman Facebooknya, bil elektrik rumahnya yang sebelum ini hanya dalam anggaran RM50 hingga RM65, kini telah meningkat kepada RM200 sejak penggunaan ‘smart meter’ TNB.

Tangkapan skrin Facebook Nur Habibi Qalbi yang meluahkan tentang isu kenaikan bil elektrik secara mendadak.

Seorang lagi pengguna akaun media sosial Facebook, Nur Habibi Qalbi dari Terengganu pula, mempersoalkan tindakan TNB apabila mendapati bil elektrik rumahnya turut naik mendadak walaupun mendakwa di tidak kerap menggunakan perkakas elektrik.

Cik Puan Atiqah Rahani dari Sungai Buloh pula, juga dalam Facebook, turut meluahkan perkara yang sama dan berkata kenaikan bil elektrik di rumahnya bermula semenjak penggunaan smart meter TNB.

Dalam pada itu Yana Joe’s pula menulis dalam Facebooknya: “Dah banyak sangat orang complaint. Please do something. My Bill tak pernah cecah RM242. Usually Rm120+. Naik terlalu banyak ni. What’s wrong ye?”

Kelebihan monopoli TNB

Isu kenaikan elektrik tersebut telah mendapat perhatian daripada Exco Lajnah Isu Rakyat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Dewan Pemuda PAS Gombak, Mohd Iqman Iberahim.

Beliau berkata setiap jawapan yang diberikan oleh TNB Careline yang mendakwa tiada kenaikan tarif elektrik berlaku adalah ‘tidak munasabah’.

Luahan Cik Puan Atiqah yang mendakwa bil elektriknya semakin naik dengan mendadak selepas pemasangan smart meter TNB.(FOTO: Tangkapan skrin Facebook Cik Puan Atiqah Rahani

“Saya tidak menafikan syarikat TNB mempunyai kelebihan monopoli dalam industri elektrik di negara ini tetapi ini tidak bermakna kerajaan perlu tunduk kepada polisi mereka,” katanya.

Sehubungan itu, bBeliau menggesa kerajaan untuk melakukan sesuatu mengenai isu tersebut kerana ia adalah keperluan asas kehidupan khusus rakyat negara ini yang jelas tidak boleh dipandang enteng.

“Kerajaan seharusnya tidak gentar dengan sifat monopoli syarikat tersebut dan bukankah sebelum ini kerajaan berjanji untuk memecahkan sifat monopoli yang dilakukan oleh sesetengah syarikat?

Mohd Iqman Iberahim

“Maka, saya menggesa kerajaan untuk melakukan sesuatu dalam isu ini untuk membuktikan sedemikian supaya dapat mengurangkan bebanan rakyat,” katanya.

Terdahulu pada 15 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan medianya berkata bahawa isi rumah yang menggunakan elektrik pada jumlah yang amat tinggi tidak lagi akan menikmati subsidi daripada kerajaan.

“Rumah perseorangan yang penggunaan elektriknya sangat tinggi umpama rumah itu guna tiga kipas dan empat penyaman udara, maka mereka harus membayar kos sebenar dan tidak menikmati subsidi,” ujarnya.

“Maknanya, B40 dan M40 tiada kenaikan (tarif elektrik), tetapi rumah-rumah yang menggunakan elektrik yang tinggi akan dikenakan bayaran ikut harga pasaran.

“Ini kena faham, tiada kenaikan bagi 90 peratus rakyat, tetapi bagi rumah-rumah yang menggunakan elektrik berlebihan termasuk penggunaan penyaman udara yang banyak (akan ada kenaikan tarif),” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -