Iran, Cuba berikrar menentang dasar imperial agresif AS

Miguel Diaz-Canel (belakang, kanan) dan Ebrahim Raisi (dua dari kiri) bertepuk tangan menyaksikan Menteri Luar Cuba, Bruno Rodriguez (depan, kanan) dan rakan sejawatannya dari Iran, Hossein Amir-Abdollahian (kiri) menandatangani perjanjian dua hala antara kedua-dua negara di Istana Revolusi di Havana, Cuba pada 14 Jun 2023. (FOTO: AFP)
- Advertisement -

HAVANA: Pemimpin Iran dan Cuba berikrar untuk bersama-sama menghadapi ‘dasar imperial agresif’ Amerika Syarikat, yang mengenakan sekatan terhadap kedua-dua negara.

- Advertisement -

Menjadi tuan rumah kepada rakan sejawatannya Ebrahim Raisi di Havana, Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel berkata kedua-dua negara ‘terpaksa gigih menghadapi segala rintangan, sekatan, tekanan, ancaman dan sikap acuh tak acuh imperialisme AS dan sekutunya’, lapor AFP.

Selain daripada sekatan, AS juga menyenaraikan kedua-dua Cuba dan Iran dalam senarai penaja negara ‘keganasan’.

Kedua-dua pemimpin itu mempengerusikan majlis menandatangani memorandum kerjasama dalam bidang termasuk kastam, telekomunikasi dan keadilan.

Pada sebelah pagi, Raisi telah menghadiri forum perniagaan di mana beliau berkata Iran akan bekerjasama dengan kerajaan Cuba dalam bidang  sains dan teknologi, loji hidroelektrik dan termoelektrik, dan perlombongan.

Hubungan mesra Iran, Venezuela, Nicaragua  

Selain Cuba, Raisi juga telah berkunjung ke dua negara latin, Nicaragua dan Venezuela yang juga disekat AS.

Di Venezuela, Raisi dan Presiden, Nicolas Maduro berkata mereka telah menandatangani 25 perjanjian dalam sektor yang terdiri daripada pendidikan dan kesihatan kepada perlombongan.

Memperdalam perdagangan dan pertukaran turut menjadi agenda Iran di Nicaragua pula, yang  mana Presiden Daniel Ortega berkata para pemimpin telah menandatangani ‘memorandum asas’ yang akan berusaha untuk meningkatkan kerjasama ekonomi, komersial dan saintifik-teknikal.

Ortega telah berkata bahawa Tehran mempunyai hak untuk menggunakan tenaga nuklear untuk tujuan damai, dan pada Februari 2023 mempersoalkan kuasa moral kuasa Barat untuk melarang Iran daripada memiliki senjata nuklear. – HARAKAHDAILY 16/6/2023

- Advertisement -