‘Jangan jadi ‘batu ronson’: Beri ruang Muhyiddin bela diri’

Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Presiden parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya diberikan ruang untuk membela diri dan tidak perlu dijadikan sebagai alat ‘batu ronson’.”

Presiden Mahasiswa United, Muhammad Airil Fitri Jalaluddin berkata, beliau mengambil maklum berkenaan isu yang dibawa oleh  Exco Pemuda Umno Malaysia, Wan Muhammad Zuhir Ghazali yang didakwanya seolah-olah dilihat menjadi ‘batu ronson’ dan cuba untuk menimbulkan perasaan kurang senang terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

- Advertisement -

“Ingin saya tegaskan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia  (Bersatu) sentiasa mendukung prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan dalam Rukun Negara. 

“Justeru, adalah tidak adil dengan menghukum seseorang itu tanpa diberi ruang kepada beliau untuk menjelaskan situasi sebenar yang berlaku,” katanya dalam kenyataan media di Facebook Mahasiswa United.

Menurut beliau, kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang lalu telah disalah ertikan sebagai suatu penghinaan kepada Institusi Diraja negara ini.

Tambahnya, perlu ditegaskan bahawa situasi tersebut merupakan rentetan peristiwa pembentukan kerajaan Pasca Pilihan Raya Umum Ke- 15 (PRU-15) yang lalu.

“Tan Sri Muhyiddin juga telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kes ini.

“Malah, beliau telah pun menyerahkan dokumen 115 SD kepada PDRM untuk membantu dalam siasatan yang mana perkara ini sudah pun dilaporkan dalam akhbar Sinar Harian pada 21 Ogos yang lalu,” ujarnya.

Sehubungan itu, Airil menasihatkan semua pihak untuk memberi ruang  kepada pihak berkuasa menyelesaikan proses siasatan sebelum membuat penghakiman awal (pre-judgement) kepada Tan Sri Muhyiddin.

Katanya lagi, segala kenyataan yang mengandungi tuduhan tidak berasas terhadap Tan Sri Muhyiddin adalah amat mendukacitakan  kerana seolah-olah tidak memahami proses dan lunas perundangan sedia ada iaitu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya (innocent until proven guilty).

“Oleh itu, tidak perlulah kita untuk jadi ‘batu ronson’ sehingga mendesak seseorang itu meletak jawatan daripada tampuk kepimpinan Parti Bersatu ini kerana anda ada rumah yang perlu dijaga dan begitu juga dengan kami. 

“Ingin saya tegaskan Bersatu sentiasa berpegang teguh kepada prinsip Kesetiaan Kepada Raja & Negara dan mengajak semua pihak untuk tidak menggunakan Institusi Raja yang tinggi martabatnya sebagai alat untuk menjatuhkan seteru politik,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin ucapannya yang menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.

Beliau dibicarakan di Mahkamah Sesyen Gua Musang semalam mengenai perkara tersebut mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan mengaku tidak bersalah. – HARAKAHDAILY 28/8/2024

- Advertisement -