KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menawarkan tapak perniagaan Bazar Ramadan pada harga lebih murah dan tidak membebankan perniaga.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, harga itu jauh berbeza dengan tapak yang disewakan pihak swasta di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.
Bahkan beliau berkata, tapak yang ditawarkan oleh PBT seluruh Kelantan sudah merangkumi lesen dan caj pembersihan bagi memberi keselesaan pengunjung dan juga peniaga.
“Terdapat rayuan daripada rakyat mengharapkan pembelaan kerajaan maka kita menetapkan kadar ini selain membuka satu lagi tapak baru bagi mengadakan Bazar Ramadan.
“Kerajaan juga telah menetapkan kadar sewa tidak melebihi RM500 bagi setiap petak, selaras dengan keperluan peniaga kecil yang memohon kadar sewa lebih rendah,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai isu kadar sewa tapak Bazar Ramadan yang tinggi dan membeban peniaga kerana ada lokasi diselia oleh pihak swasta bukan kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu menjelaskan bahawa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) turut membuka satu lagi tapak baru.
Ia terletak dari Jalan Bazar Tok Guru hingga ke simpang tiga Gelanggang Seni, menjadikannya lokasi utama bagi peniaga yang kurang berkemampuan disamping beberapa lokasi lain.
Sebelum ini tular harga tapak Bazar Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV yang dahulunya dikendalikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Bagaimana pun tapak tersebut kini diuruskan oleh Tun Event Management yang mengadakan Bazar Ramadan tahun ini. – HARAKAHDAILY 13/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!