
DUNGUN: Penubuhan Pasar Berkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura hasil inisiatif dan keprihatinan kerajaan Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi, membuahkan hasil apabila mendapat sambutan luar biasa penduduk tempatan.
Sejak awal pagi lagi, orang ramai membanjiri kawasan pasar, malah ramai yang sanggup menunggu sebelum gerai dibuka, sekali gus membuktikan inisiatif ini amat dinantikan oleh masyarakat.
“Melihat masyarakat datang seawal pagi untuk mendapatkan barangan keperluan adalah petanda jelas bahawa Pasar Berkat memberi manfaat besar kepada rakyat. Sambutan hangat ini memberi kami semangat untuk terus memperluaskan inisiatif begini,” kata Dr Fakhruddin.
Antara tarikan utama Pasar Berkat ialah harga barangan asas yang jauh lebih murah berbanding harga di pasaran. Sebagai contoh, ayam dijual pada harga serendah RM10 seekor, manakala daging segar dan tulang lembu yang dijual pada harga RM23 sekilogram habis diborong dalam tempoh kurang daripada dua jam.
Berikutan permintaan tinggi, Dr Fakhruddin dan pasukan DUN Sura segera bertindak menambah bekalan sebanyak 1,000 ekor ayam, membuktikan kepekaan mereka terhadap keperluan rakyat.

“Program ini bukan sekadar menjual barangan, tetapi komitmen kami untuk meringankan beban rakyat, terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini. Terima kasih kepada semua pihak yang sudi berganding bahu dalam menjayakan usaha murni ini,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif Pasar Berkat bukan sahaja membantu menstabilkan harga barang di kawasan DUN Sura, tetapi memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
Berikutan sambutan yang begitu menggalakkan, katanya program ini dijangka akan terus diperluaskan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk. – HARAKAHDAILY 24/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!