KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak kerajaan mengambil tiga pendekatan untuk membela nasib pekerja industri P-Hailing yang kini menjadi pilihan utama anak muda untuk menjana pendapatan.
Ketua Sektor Tanggungjawab Sosial & Khidmat Masyarakat DPPM, Ustaz Mohamad Kamal Mohamed berkata, langkah pertama ialah mengurangkan kadar komisen syarikat P-Hailing supaya pekerja mendapat bahagian pendapatan yang lebih adil.
Kedua, katanya ialah memastikan perlindungan keselamatan sosial seperti insurans kemalangan dan faedah perubatan kepada semua pekerja ekonomi gig.
“Ketiga, kerajaan perlu memberikan jaminan bahawa pekerjaan dalam sektor Gig Ekonomi & P-Hailing diiktiraf sebagai pekerjaan yang sah, dilindungi serta mendapat manfaat keselamatan setanding dengan pekerjaan lain,” katanya dalam
kenyataan media di sini.
Mohamad Kamal berkata, sektor P-Hailing menjadi pilihan utama anak muda untuk menjana pendapatan, terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Bagaimanapun, katanya sektor ini semakin menjadi ‘perangkap’ eksploitasi dengan keadaan kerja yang tidak menentu dan risiko keselamatan yang tinggi.
Menurutnya, secara purata antara tiga hingga empat kes kemalangan maut melibatkan pekerja P-Hailing setiap hari dan Ini tidak boleh dipandang ringan kerana mereka berhadapan risiko jalan raya yang tinggi tanpa perlindungan yang mencukupi.
“Sepanjang Januari hingga Oktober tahun lalu, sebanyak 5,300 kes kematian akibat kemalangan jalan raya dicatatkan dengan 68 peratus melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.
“Sudah tentu, sebahagian daripada mereka adalah pekerja P-Hailing yang terpaksa bekerja dalam tempoh yang lama, berbahaya dan tanpa perlindungan secukupnya,” katanya.
Sementara itu, katanya, Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden ketika perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini menyatakan bahawa sebilangan besar pekerja P-Hailing terpaksa bekerja sehingga 14 jam sehari untuk mendapatkan pendapatan yang cukup bagi menampung kos sara hidup.
Katanya, beban kerja yang melampau bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal dan mental mereka, tetapi meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.
Pada masa sama, katanya syarikat P-Hailing mengenakan kadar komisen yang terlalu tinggi, antara 15 hingga 25 peratus daripada setiap penghantaran dan ini menekan pendapatan pekerja yang terdedah kepada ketidaktentuan cuaca, keletihan dan kos bahan api yang semakin meningkat.
“Alhamdulillah, antara komitmen PAS dan Perikatan Nasional (PN) terhadap kebajikan pekerja dalam sektor ini ialah Program G4K Care (Caruman Takaful) yang akan diperkenalkan di Kelantan.
Menurutnya, mulai tahun ini, kerajaan akan mencarum bagi pekerja dalam sektor ini sebagai langkah awal menjamin perlindungan mereka.
“Anak muda adalah tulang belakang ekonomi negara. Keselamatan dan kebajikan mereka tidak boleh dikorbankan demi keuntungan syarikat gergasi. Kerajaan tidak boleh terus berdiam diri!” katanya. – HARAKAHDAILY 20/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!