Taufan ‘bencana’ 200kmj hampiri India, Pakistan

Imej satelit AccuWeather RealVue yang dirakam pada lewat Selasa, 13 Jun 2023 (waktu India) menunjukkan Taufan Biparjoy di Laut Arab yang sedang bergerak menuju ke kawasan pantai India dan Pakistan.
- Advertisement -

Belum lagi muncul kerana dijangka akan melanda pada esok, pada jam 6.30 petang (waktu India) atau jam 8.00 malam (waktu Malaysia) Khamis (15 Jun), impak Taufan Biparjoy kini telah meragut tujuh nyawa. 

- Advertisement -

Taufan itu yang dijangka melanda Pakistan dan India pada lewat petang Khamis (waktu India) dari Laut Arab telah menunjukkan tanda maut awalnya menyebabkan ombak tinggi di Laut Arab, disertai hujan lebat dan angin kencang, menghentam kawasan pantai Gujarat, di India menumbangkan pokok dan mengakibatkan tembok runtuh, membunuh tiga orang di daerah Kutch dan Rajkot di negeri itu pada Isnin (12 Jun).

Polis di Mumbai, metropolis barat India yang terletak di selatan Gujarat pula berkata empat kanak-kanak lelaki disahkan mati lemas di pantai Juhu pada petang Isnin (12 Jun).

India dan Pakistan kini bersiap sedia untuk menghadapi tamparan hebat daripada alam semulajadi, dengan taufan tropika dahsyat itu dijangka melanda negeri barat India Gujarat dan bahagian selatan Pakistan pada esok hari. 

Peta laluan Taufan Biparjoy yang dijangka akan melanda Pakistan dan India pada hari esok, Khamis, 15 Jun 2023. Semua masa adalah Waktu Piawai India, iaitu dua setengah jam lebih lambat berbanding waktu di Malaysia. (FOTO: Sistem Amaran dan Penyelarasan Bencana Global (GDACS)/ New York Times)

Pihak berkuasa di kedua-dua buah negara Asia Selatan itu sedang memindahkan orang ramai dari kawasan pantai, menghentikan aktiviti menangkap ikan dan mengerahkan pasukan penyelamat sebelum ketibaan Taufan Biparjoy, lapor CBS News.

Taufan yang bergerak dari Laut Arab, dengan nama Bipajoy yang bermaksud ‘bencana’ dalam bahasa serantau Bangla, menyasarkan wilayah Sindh di selatan Pakistan dan garis pantai negeri Gujarat di India barat.

Secara spesifiknya ia dijangka mendarat menjelang lewat Khamis antara Mandvi di Gujarat dan Karachi di Pakistan.

Siklon itu berkemungkinan akan menjejaskan Karachi, bandar terbesar Pakistan dengan 20 juta penduduk, serta dua pelabuhan terbesar India, Mundra dan Kandla, di negeri Gujarat, selain kawasan lain di kedua-dua negara.

Menurut Jabatan Metereologi India (IMD), taufan itu bakal membawa angin berkelajuan maksimum melebihi 80 mph (129 kmj) dengan tiupan lebih 90 mph (145kmj); manakala agensi cuaca kerajaan Pakistan berkata kelajuan anginnya boleh mencecah sehingga 124 mph (200kmj).

Seorang penyelamat meronda di pantai Juhu, India semasa amaran bendera merah akibat laut bergelora akibat taufan Biporjoy, di Mumbai, India pada Isnin, 12 Jun 2023. (FOTO: REUTERS)

Peta laluan Taufan Biparjoy

Menurut laporan New York Times pula, Biparjoy diramalkan akan menjadi lemah kepada setara dengan taufan Kategori 1 sebelum mendarat di Pakistan dan India tetapi masih akan mencapai kelajuan angin melebihi 74 mpj (119kmj).

Kuasa tiupan angin ribut tropika yang  melebihi 39mpj (63kmj) akan melebarkan keluasannya  sekurang-kurangnya ke 120 batu (193km) dari pusat ribut dan akan menjejaskan wilayah yang lebih luas di Pakistan dan India.

Satu lagi kebimbangan apabila taufan itu menghampiri daratan ialah gelombang ribut. Paras air pasang diramalkan enam hingga 10 kaki (3 meter) di atas paras biasa di kawasan berhampiran dan di selatan pusat taufan.

Selepas ribut bergerak ke pedalaman, ia dijangka cepat lemah tatkala ia memecut ke utara India.

Menurut penyelidik, siklon tropika di Laut Arab seperti ini, telah menjadi lebih kerap dalam beberapa dekad yang lalu kerana suhu permukaan laut yang memanas di rantau ini, dipertingkatkan pemanasan iklim global.

Penduduk dari kawasan pantai Keti Bandar di wilayah Sindh Pakistan pada 13 Jun 2023 sebagai persediaan menghadapi Taufan Biparjoy yang dijangka membadai negara menjelang lewat esok, Khamis, 15 Jun 2023. (FOTO: AFP/Getty Images)

Sejarah siklon Pakistan-India

Pakistan mempunyai garis pantai sepanjang 1,046 kilometer  di sepanjang Laut Arab dan Teluk Oman di bahagian barat daya negara itu, lokasi di mana Gwadar adalah bandar pelabuhan utamanya. 

Walaupun taufan jarang berlaku di laut Arab yang merupakan sebahagian daripada Lautan Hindi Utara, siklon yang terbentuk di lautan ini kebanyakannya bergerak ke arah India Barat dan bukannya Pakistan. 

Siklon di laut Arab terbentuk kebanyakannya dari bulan Mei hingga Jun dan kemudian dari September hingga Oktober, dan musim tengkujuh memainkan peranan penting untuk pembentukan taufan di lembangan ini.

Setiap tahun sebelum bermulanya monsun iaitu 15 April hingga 15 Julai dan juga selepas penarikannya iaitu 15 September hingga 15 Disember, sentiasa ada kemungkinan besar ribut siklon berkembang di utara Laut Arab.

Dipercayai kemungkinan terdapat 98 peratus peluang taufan untuk beralih ke arah negeri Gujarat di India, satu peratus peluang untuk bergerak ke arah Teluk Arab dan satu peratus peluang untuk bergerak ke arah pantai Pakistan. 

Bot-bot nelayan berlabuh di pelabuhandan operasi perikanan di Karachi, Pakistan mula ditutup pada 10 Jun 2023 berikutan pihak berkuasa negara itu mengeluarkan amaran tentang ketibaan Taufan Biparjoy. (FOTO: AP)

Terdapat hanya satu pusat amaran siklon tropika di Pakistan, iaitu di Karachi dalam wilayah Sindh. Siklon yang muncul di Pakistan kebanyakannya melanda pantai Sindh berbanding pantai Balochistan.

Dalam tempoh 125 tahun yang lalu, beberapa ribut siklon telah melanda kawasan pantai Pakistan; dengan tahun yang terlibat ialah 1895, 1902, 1907, 1944, 1948, 1964, 1985, 1999, 2007 dan 2010. 

Pada 23 Jun 2007, Siklon Yenmin yang terbentuk di atas Teluk Benggala dan menjadi taufan di atas Laut Arab, meragut  200 nyawa di bandar Karachi akibat hujan lebat dan ribut angin kencang ketika ia bergerak menuju ke wilayah Balochistan.

Ia mendarat berhampiran bandar Ormara dan Pasni di wilayah Balochistan, tiga hari kemudian  di mana ia meragut 300 nyawa lain.

Secara keseluruhannya Siklon Yenmin telah meragut 730 nyawa dan menjejaskan dua juta penduduk di Pakistan menjadikannya taufan ketiga paling dahsyat dalam sejarah negara itu; berbanding siklon nombor satu paling maut pernah melanda negara itu pada 20 Mei 1999, yang bergerak ke darat berhampiran Keti pada intensiti Kategori 3 skala Saffir–Simpson dan meragut 6,200 nyawa. 

Seorang kanak-kanak berlari menyelamatkan diri daripada ombak tinggi yang melanda kawasan pantai di Mumbai, India pada Selasa 13 Jun 2023. (FOTO: AFP/Getty Images)

300,000 hingga 500,000 maut

India pula merupakan sebuah negara di Asia Selatan yang bersempadan dengan Laut Arab, Lautan Hindi dan Teluk Benggala, manakala ia berkongsi sempadan darat dengan Bangladesh, Bhutan, China, Myanmar, Nepal dan Pakistan. 

Negara itu juga terletak dalam persekitaran Sri Lanka dan Maldives, manakala Kepulauan Andaman dan Nicobar di bawah India  berkongsi sempadan maritim dengan Thailand, Myanmar dan Indonesia. 

Secara purata kira-kira dua hingga empat siklon tropika memberi kesan kepada India setiap tahun, manakala kebanyakan siklon tropika ini memberi kesan kepada pantai timur negeri-negeri India di Bengal Barat, Odisha, Andhra Pradesh, Tamil Nadu.

Pantai Barat India kurang terdedah kepada taufan dengan satu daripada dua hingga empat taufan melanda pantai barat dengan majoriti daripadanya menyerang negeri Gujarat, Maharashtra, Goa, Karnataka dan Kerala.

Pada Nov 1888, akibat amukan Taufan Gujarat, ribut siklon ganas dengan angin kuat taufan melanda Gujarat menyebabkan sebuah kapal karam yang telah meragut kira-kira 1,300 nyawa.

Askar separa tentera membantu memindahkan penduduk dari sebuah kampung di daerah Thatta dalam wilayah Sindh di Pakistan pada Selasa, 13 Jun, 2023. (FOTO: Sindh Rangers Pakistan melalui AP)

Siklon Bhola 1970 (juga dikenali sebagai Siklon Besar 1970) pula ialah taufan tropika dahsyat yang telah melanda Pakistan Timur (Bangladesh kini) dan Bengal Barat India pada 12 November 1970.

Ia kekal sebagai taufan tropika paling maut pernah direkodkan dan salah satu bencana kemanusiaan paling dahsyat di dunia. 

Sekurang-kurangnya 300,000 orang maut dan dikhuatiri mencecah sehingga 500,000 orang akibat amukan taufan itu, terutamanya impak gelombang ribut yang membanjiri kebanyakan pulau-pulau rendah di Delta Gangga.

Siklon itu terbentuk di atas Teluk Benggala tengah pada 8 November dan mengembara ke utara, semakin kuat ketika ia berlaku. 

Ia mencapai kemuncaknya dengan angin 185 km/j (115 mph) pada 10 November, dan mendarat di pantai Pakistan Timur pada petang berikutnya. 

Gelombang taufan berkenan memusnahkan banyak pulau luar pesisir, menghapuskan kampung dan memusnahkan tanaman di seluruh wilayah.

Upazila (sub-unit daerah) yang paling teruk terjejas ialah Tazumuddin, dengan lebih 45% daripada populasi 167,000 terbunuh akibat taufan tersebut.

Seorang wanita dan anaknya bersama-sama penduduk yang dipindahkan dari sekitar pelabuhan Kandla, di Gujarat, India berada di penempatan perlindungan sementara pada 13 Jun 2023. (FOTO: REUTERS)

Persiapan India hadapi Biparjoy

Dalam menghadapi Taufan Biparjoy, pihak berkuasa India  berkata pada Selasa (13 Jun), sekurang-kurangnya 8,000 orang telah dipindahkan dari kawasan pantai Gujarat di India ke lokasi yang lebih selamat dan operasi menangkap ikan di situ telah digantung sehingga Jumaat (16 Jun) manakala sekolah telah mengisytiharkan cuti.

Gujarat yang mempunyai populasi mencecah 70 juta penduduk adalah lokasi penempatan kepada banyak pemasangan minyak luar pesisir dan pelabuhan utama di negara ini dan kebanyakannya terpaksa menggantung operasi.

Menurut kerajaan India, sebanyak 21 pasukan Pasukan Tindak Balas Bencana Negara dan 13 pasukan Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri telah ditempatkan di Gujarat  untuk operasi menyelamat.

Pelabuhan Kandla dan Mundra di Guaerat telah menggantung operasi, kata kerajaan negeri. Pelabuhan lain termasuk Bedi, Navlakhi, Porbandar, Okha, Pipavav dan Bhavnagar juga telah ditutup akibat ancaman Taufan Biparjoy.

Reliance Industries, yang mengendalikan kompleks penapisan terbesar di dunia di Jamnagar di Gujarat, mengisytiharkan sebagai ‘force majeure’ – menggantung eksport diesel dan produk minyak lain dari pelabuhan Sikka di negeri itu sebagai persediaan menghadapi taufan berkenaan.

Seorang lelaki merakam keadaan laut yang bergelora di pantai Clifton, Karachi, Pakistan pada Selasa, 13 Jun 2023. (FOTO: REUTERS)

Syarikat perniagaan pelabuhan konglomerat Adani, iaitu Adani Ports, berkata ia menggantung operasi kapal sejak Isnin di Mundra, pelabuhan komersial terbesar India yang mempunyai terminal import arang batu terbesar di negara itu, dan juga di pelabuhan Tuna berhampiran Kandla.

Menurut laman web Shelf Drilling, pengawal pantai India berkata ia telah memindahkan 50 kakitangan dari pelantar minyak jack-up di luar pantai Gujarat,  Key Singapore, yang dimiliki oleh Shelf Drilling yang berpangkalan di Dubai.

Pakistan pindahkan 80,000 penduduk

Di Pakistan, sebahagian besar komuniti pantai di selatan wilayah Sindh dijangka mengalami impak gelombang Taufan Biparjoy.

Jabatan Meteorologi Pakistan telah memberi amaran bahawa rumah dibina dengan lumpur dan jerami yang secara tradisionalnya menjadi kediaman masyarakat termiskin di Pakistan, akan terdedah kepada risiko dipecahkan dalam tiupan angin kencang taufan berkenaan.

Kakitangan pengurusan bencana negara itu telah dikerahkan ke wilayah dan bandar yang akan berada dalam laluan ribut berkenaan.

Pihak berkuasa Pakistan berkata darurat telah diisytiharkan ketika mereka memulakan usaha pemindahan untuk memindahkan kira-kira 80,000 penduduk keluar dari laluan taufan yang semakin hampir dan dijangka bakal menjengah pada esok hari itu. – HARAKAHDAILY 14/6/2023

- Advertisement -