Gesa jelas isu penyelesaian sempadan dengan Indonesia

- Advertisement -

SEREMBAN: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim digesa memberi penjelasan berhubung isu persempadanan maritim antara Malaysia dan Indonesia yang dilapor telah diselesaikan dengan negara jiran tersebut.

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin merujuk kenyataan Presiden Indonesia, Joko Widodo yang menyambut baik penyelesaian isu itu ketika lawatan kerja rasmi ke Malaysia pada Rabu lalu.

Joko Widodo atau Jokowi berkata, Anwar dan para Menteri Malaysia telah membantu penyelesaian sempadan di Laut Sulawesi dan bahagian selatan Selat Melaka setelah 18 tahun rundingan kedua pihak.

Malah, beliau turut berharap proses rundingan bagi isu persempadanan yang lain juga dapat diselesaikan segera, manakala Anwar menzahirkan penghargaan atas komitmen Jokowi bekerjasama dan memudahkan rundingan.

Menurut Muhyiddin, semasa beliau sebagai Perdana Menteri, isu tersebut antara yang masih tidak selesai rundingan antara kedua negara kerana wujud perkara dipersetujui dan tidak dipersetujui.

Kerana jelas beliau, ia perkara sensitif berkenaan sempadan-sempadan termasuk melibatkan Negeri Johor dan Sabah di mana turut memerlukan pandangan dan nasihat daripada pakar-pakar berkaitan.

Ahli Parlimen Pagoh itu musykil sama ada Anwar benar-benar telah menandatangani persetujuan mengenai hal tersebut dengan terdahulu mendapat nasihat daripada para pakar maritim Malaysia.

“Dalam isu yang berkaitan sovereignty (kedaulatan) sempadan antarabangsa dengan negara-negara lain, tak boleh buat keputusan dengan mudah, berkompromi sehingga menyebabkan kawasan-kawasan kita dah diambil alih oleh orang lain.

“Saya tak menuduh Perdana Menteri. Saya nak minta dia beri penjelasan ataupun beri kenyataan dan keterangan kepada rakyat secara terbuka dan tak payah diselindungkan. Apa yang dia telah meterai perjanjian itu?

“Kerana ada laporan yang beritahu, pakar-pakar maritim (telah) nasihat Perdana Menteri jangan signed (tandatangan). Antara kita dengan Indonesia ialah negara sahabat. Tapi yang berkaitan kedaulatan boleh kompromi.

“Jangan mudah-mudah nak bagi walau seinci pun. Soal boundary (sempadan), berkaitan dengan apa dipanggil law of the sea antarabangsa, UNCLOS. Dia ada kaitan
dengan undang-undang dunia.

“Jadi kita mesti pandu kepada penasihat yang menjadi pakar antarabangsa, yang tahu tentang soal sempadan,” ujar beliau pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat anjuran PN di Senawang, di sini malam tadi.

Muhyiddin turut menyuarakan kekesalan terhadap Anwar kerana perkara sama berkaitan sempadan juga timbul sebelum ini setelah pulang daripada lawatan rasmi ke negara China beberapa bulan lepas.

Tegas beliau, dalam hubungan persahabatan dengan negara lain termasuk jiran, hal berkaitan hak, sempadan dan kedaulatan mesti dipertahankan. – HARAKAHDAILY 11/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -