Kerajaan nafikan peranan dan tugas PAC

Gambar Jabatan Penerangan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Whip PERIKATAN NASIONAL (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menyifatkan kerajaan menafikan peranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dengan membawa usul untuk membolehkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat.

- Advertisement -

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, tindakan kerajaan menyalahi peraturan mesyuarat kerana tiada peraturan membolehkan usul itu dibentang tanpa mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU).

Katanya, Perkara 107 dalam Perlembagaan Persekutuan, Fasal 1, Ketua Audit Negara hendaklah mengemukakan laporan-laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong dan hendaklah laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat.

“Kami menghujahkan bahawa laporan Ketua Audit Negara berdasarkan Perkara 107 Fasal 1 berkaitan dengan Kementerian Jabatan Persekutuan hanya perlu dibentangkan sahaja di atas meja Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

“Ini dilakukan pada 16 Februari 2023, semakan dan kajian kami menunjukkan sepanjang perjalanan Dewan Rakyat di negara ini, tidak pernah Laporan Ketua Audit Negara dibentang untuk dibahaskan,” katanya selepas selesai sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, katanya PN berpandangan bahawa usul untuk membolehkan Laporan Ketua Audit Negara 2021 dibahaskan adalah bertentangan dengan peraturan mesyuarat dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Takiyuddin juga meminta Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk menyatakan asas usul Laporan Ketua Audit Negara itu mahu dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat dilakukan dalam sidang Parlimen.

Katanya, ini kerana pihaknya menjangkakan kerajaan akan menjawab tiada peruntukan yang menyatakan Laporan Ketua Audit Negara boleh dibahaskan.

“Saya ingin mengingatkan dalam undang-undang, kalau tidak ada undang-undang bertulis, ia dipanggil satu konvensyen amalan yang dilakukan, amalan yang dilakukan sepanjang Parlimen.

“Atas dasar itu kami mencadangkan supaya usul ini tidak dibentangkan untuk dibahaskan di sini (Dewan Rakyat),” katanya. – HARAKAHDAILY 6/6/2023

- Advertisement -