PRN: Pengundi perlu hati-hati pilih calon

Hassan Saad (kanan) ketika turun ke lapangan bertemu golongan sasaran di sekitar Kampung Batu 7, Rambong, di Baling, Kedah.
- Advertisement -

BALING: Pengundi di enam buah negeri yang bakal diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, dinasihatkan agar berhati-hati memilih calon. 

- Advertisement -

Ahli Parlimen Baling, Ustaz Hassan Saad berkata, perkara itu sangat penting agar calon yang dipilih nanti bukan sahaja  berkaliber dari segi kepimpinan malah adil serta mampu menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat.

“Pilihlah yang bersesuaian, berjiwa pemimpin, berakhlak tinggi, bertanggungjawab, sabar serta boleh merancang dan bijak melaksanakan tugas,” katanya. 

Menurutnya, beliau sehingga kini masih mengingati pesanan serta nasihat pengundi khususnya di Baling agar menjalankan tanggungjawab dengan baik apabila menang sebagai Ahli Parlimen kawasan terbabit. 

Hassan mengakui, tugas sebagai wakil rakyat bukanlah semudah yang dianggap oleh sesetengah pihak sedangkan banyak perkara yang perlu dilakukan terutama berkaitan keperluan masyarakat. 

“Pesanan dan pengharapan rakyat Baling terhadap saya tidak pernah saya lupakan malah kata-kata mereka, menyentuh perasaan saya,” kongsinya. 

Beliau bersama-sama petugas HalWa Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu turun ke lapangan bertemu golongan sasaran di sekitar Kampung Batu 7, Rambong, di sini, semalam. 

Antara sasaran ziarah dan sumbangan itu melibatkan warga emas, individu sakit dan penduduk kurang berkemampuan. 

“Saya sangat risau jika pangkat yang diamanahkan menjauhkan saya daripada berbakti dan membantu rakyat yang memerlukan walaupun aktiviti ziarah ini sudah sebati dan dilaksanakan PAS sejak dahulu lagi,” tambah beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Baling.

Hassan, 65 (PN) menang pada PRU lalu, menewaskan calon penyandang, Dato’ Seri Abdul Azez Abdul Rahim (BN) dengan majoriti 29,137 undi.

Kemenangannya juga menumbangkan dua calon lain iaitu Johari Abdullah (PH) dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Basir Abdul Rahman. – HARAKAHDAILY 6/6/2023

- Advertisement -