KOTA BHARU: Pengusaha nasi berlauk yang lebih dikenali Nasi Berlauk Kak Chik iaitu Che Halimah Che Ahmad, 67, dinobatkan sebagai Tokoh Sayyidatina Khadijah tahun ini.
Anugerah itu diberi sempena Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2023 yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) berakhir semalam.
Anugerah dan cenderahati disampaikan Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah.
Turut menerima anugerah pada HSK, Nur Hidayah Bee Teo diberi anugerah Tokoh Tokoh Sayyidatina Mariah Al-Qibtiyah (Mualaf), manakala Anugerah Khas Wanita Bukan Islam diterima Thanaletchumi a/p Govindasami.
Seramai 18 wanita yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk influencer menerima anugerah menerusi dua kategori, lapan orang Anugerah Ikon HAS dan 10 orang Anugerah Tokoh HSK.
Sementara itu, influencer terkenal Bidah Jack atau nama sebenarnya Wan Norzubaidah Wan Mohamed antara lapan Ikon HSK yang diraikan pada hari tersebut.
Norzubaidah dianugerah Tokoh Ikon Influencer bersesuaian dengan kemampuan berjaya menarik pengikut di laman sosial sama ada di Tiktok dan Facebook. Beliau memperolehi lebih 1 juta tanda suka.
Program anjuran kerajaan Kelantan itu diadakan setiap tahun itu dikendalikan Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa). Tahun ini bertema Agar Dirimu Semulia Khadijah.
Mohd Amar menyifatkan anugerah tersebut sebagai menghargai tokoh-tokoh dan ikon wanita Kelantan yang Berjaya dalam pelbagai bidang.
Beliau bagaimanapun berharap golongan wanita sentiasa mencari ilmu memandangkan dunia zaman sekarang semakin mencabar.
“Kita tidak boleh mengisi dunia tanpa ilmu, pelbagai ujian perlu dihadapi dengan getir, kita tidak boleh melaluinya dengan tangan kosong.
“Walau apa ilmu sekali pun, ilmu Islam wajib dituntut sebagai perisai, pendinding dalam menghadapi pelbagai ujian, kerenah, ancaman luar di zaman ini yang tanpa sempadan,” ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Mumtaz Md Nawi pula menyifatkan HSK sebagai pengiktirafan kerajaan negeri kepada golongan wanita dalam usaha membangunkan masyarakat.
Katanya, sambutan HSK tahun ini bermula dengan Muslimah Internasional Summit Kelantan 3.0 (MISK 3.0) yang turut disertai 200 peserta.
“Deligasi luar negara turut menyertai program tahun ini dari Pakistan dan Indonesia,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 2/6/2023