Bersederhana dalam mencintai, membenci seseorang

- Advertisement -

DARIPADA Muhammad bin Sirin daripada Abi Hurairah Rha (aku melihat dia memarfu’kannya) telah berkata:

- Advertisement -

أَحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْمًا مَا وَأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْمًا مَا

Cintailah orang yang engkau cintai seadanya, kerana boleh jadi suatu hari dia akan menjadi musuhmu, dan bencilah orang yang engkau benci seadanya, kerana boleh jadi suatu hari kelak dia akan menjadi orang yang engkau cintai. (Riwayat Imam Tirmizi. Hadis ini dinilai sahih oleh Sheikh Muhammad Nashiruddin Al Albani)

Kefahaman hadis

1. Sebaik-baik perkara adalah bersederhana. Islam melarang kita bertindak keterlaluan dalam segala urusan.

Daripada Abdullah bin Mas’ud Rha bahawa Nabi SAW bersabda sebanyak tiga kali:

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ

Musnahlah golongan yang melampau (keterlaluan). (Riwayat Imam Muslim)

2. Realiti kehidupan hari ini jua pengalaman dimasa lalu jelas membuktikan perihal apa yang disebut oleh Nabi SAW.

3. Seorang yang kita sayang dan kasih sepenuh hati pada satu ketika kerana kebaikan dan jasanya, hari ini telah menjadi musuh kita. Tahap permusuhannya pula seolah-olah mereka tidak pernah mengenali kita. Hilang segala jasa dan kebaikan. Segalanya bertukar menjadi maki dan nista.

4. Demikian sebaliknya, seorang yang kita benci sungguh-sungguh pada satu ketika kerana dosa dan kejahatan yang dia lakukan, hari ini telah menjadi sahabat kita. Tahap persahabatannya pula seolah-olah mereka adalah orang yang mengenali kita sejak sekolah tadika lagi. Hilang segala dosa dan kejahatan. Segalanya bertukar menjadi puji dan puja.

5. Begitulah sketsa kehidupan. Namun Islam telah mengasuh kita agar tidak keterlaluan mencintai dan membenci.

6. Cintailah dan bersahabatlah dengan seseorang kerana Allah SWT. Bencilah dan berpisahlah dengan seseorang kerana Allah SWT.

Daripada Abi Umamah RA daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda telah bersabda:

مَنْ أَحَبَّ لِلَّهِ وَأَبْغَضَ لِلَّهِ وَأَعْطَى لِلَّهِ وَمَنَعَ لِلَّهِ فَقَدْ اسْتَكْمَلَ الْإِيمَانَ

Barang siapa yang mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, kerana Allah dan menahan kerana Allah, maka telah sempurnalah keimanannya. (Riwayat Abu Daud – Hadis Sahih)

7. Bersahabat kerana Allah SWT adalah berpaksi pada kebenaran dan kejujuran. Bersahabat untuk sehayun tangan dan selangkah kaki ke medan juang guna menegakkan agama Allah SWT.

8. Membenci kerana Allah SWT pula kerana berlaku sikap penentangan terhadap agama Allah SWT. Kita tidak boleh bertolak ansur sebaliknya kita mesti kekal istiqamah bersama dengan perjuangan untuk menegakkan agama Allah SWT. Sementara kita terus merawat insan yang punya “penyakit” ini agar kembali kepada Islam yang benar dan perjuangannya.

9. Ingat, pejuang dan pendakwah tidak pernah membenci pesakit, sebaliknya membenci “penyakit” yang dihidapinya. Maka kita bertanggungjawab untuk terus berusaha merawat mereka.

NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat
13 Zul Qaedah 1444 / 2 Jun 2023 – HARAKAHDAILY 2/6/2023

- Advertisement -