Bukan Islam tidak selamat kalau melampau terhadap Islam

- Advertisement -

KINI, kalangan bukan Islam menuduh pendukung perjuangan bagi menegakkan Islam sebagai kelompok pelampau. Sikap ini secara terbuka dapat disaksikan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia yang memberi jenama gelombang hijau kepada kumpulan tersebut yang dianggap berbahaya. Adapun di peringkat antarabangsa pula, disebarkan Islamofobia untuk membawa gambaran yang menakutkan terhadap Islam, disebarkan oleh media dan dikuatkan oleh tindakan beberapa kerajaan terhadap penganut Islam yang beramal dengan ajaran Islam.

- Advertisement -

Dalam pada itu, kemenangan Parti Islam secara demokrasi dihalang dengan segala cara. Sekiranya Parti Islam diberikan kemenangan memerintah negara, mereka diperlakukan dengan sekatan ekonomi dan sebagainya. Manakala parti yang telah memerintah pula diusahakan agar digulingkan dengan segala cara. Mereka menerima apa sahaja ideologi bukan Islam, termasuk pemerintahan diktator yang dibenarkan untuk memerintah negeri Islam dengan diberikan bantuan bagi melindunginya.

Sikap ini tidak adil terhadap Islam dan pejuangnya, laksana kata pepatah Arab:

ضَرَبَنِي وَبَكَى، ظَلَمَنِي وَاشْتَكَى.

“Dia yang memukulku, lalu dia pula yang menangis; dia yang menzalimiku, lalu dia pula yang mengadu.”

Tuduhan yang dilemparkan hanyalah memukul diri mereka sendiri, apabila kalangan mereka yang berfikir mencari kebenaran mengkaji Islam secara jujur dan ikhlas. Akhirnya, golongan itu memilih bersama Islam dan kemudian bertindak menyanggah kumpulan yang sebenarnya sesat dan melampau.

Allah SWT telah berfirman:

﴿…ٱلۡيَوۡمَ يَئِسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِۚ ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ…٣﴾

“…Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) daripada agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu, janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan ni‘mat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…” (Surah al-Ma’idah: 3)

Sejarah dahulu telah membuktikan bahawa kuasa besar dunia yang mengepung Islam pasti akan jatuh dan tumbang. Hal ini menunjukkan bahawa sejarah mereka yang bermusuh terhadap Islam yang menjatuhkan diri mereka sendiri akan berulang. Terkini, usaha Islamofobia menyebabkan muncul kalangan mereka yang ingin mengetahui tentang Islam dengan mengkajinya, seterusnya memeluk Islam dan berdakwah di tempat masing-masing.

Penganut agama Kristian di negara Barat semakin ramai meninggalkan agama mereka sehingga beberapa gereja kini bertukar menjadi masjid. Keadaan ini menunjukkan Islam telah berjaya menembusinya, termasuk negara yang membakar al-Quran, menyebabkan ramai orang yang mencari terjemahan al-Quran kerana perasaan ingin tahu.  

Kejatuhan dua kuasa besar dunia, Rom dan Parsi ketika menghadapi kedatangan Islam, maka dituduhnya Islam itu melampau. Sebenarnya, mereka itulah sebenarnya yang melampau.

Walaupun mereka penuh kekayaan, bertamadun kebendaan membina bangunan yang tersergam hebat dan kota teguh yang masih dapat dilihat sehingga hari ini, dan bala tentera yang terkuat, namun akhirnya mereka tidak mampu mempertahankannya setelah memerintah dalam tempoh masa yang panjang sehingga menakluk wilayah yang luas. Hal ini demikian kerana, segala tamadunnya itu dibina daripada tindakan zalim terhadap rakyat.

Musuh Islam itu bersikap melampau dalam beragama, apabila mereka meneroka soal ketuhanan dengan akal yang lemah. Hal ini menyebabkan mereka menafikan Allah itu Maha Esa sehingga melantik makhluk juga menjadi tuhan yang dipuja, memberikan kuasa ketuhanan kepada paderi, pendeta dan sami, serta menangani kemanusiaan dengan pendekatan yang salah, sama ada menjadikan manusia seperti malaikat atau kini ada yang liberal seperti binatang.

Kumpulan yang berkuasa memerintah juga melakukan perkara yang sama sehingga berlaku pertarungan antara agamawan dan pemerintah yang menjadi salah satu sebab berlakunya kelahiran ideologi sekularisme yang memisahkan agama daripada pemerintahan. Perkara ini sebagaimana yang ditulis dalam kitab Injil yang telah dipinda:

“Render unto Caesar the things which are Caesar’s, and unto God the things that are God’s.”

“Serahkan urusan kerajaan kepada raja (manusia), dan serahkan urusan Tuhan kepada Tuhan.” (Matthew: 21)

Maka, terpisah urusan pemerintahan politik, ekonomi dan lain-lain daripada agama. Akibatnya, para agamawan berlagak seperti tuhan sehingga meminda hukum agama dan kitab Injil dan Taurat, termasuk perkara yang ditetapkan oleh Allah SWT sahaja dalam hukum agama, seperti soal halal dan haram juga diubah.

Sehinggakan, perkara yang haram menjadi halal dan perkara yang halal menjadi haram. Bahkan, mereka boleh mengampunkan dosa bagi pihak tuhan dengan bayaran dan lain-lain. Hal ini telah dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓاْ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗاۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشۡرِكُونَ٣١﴾

“Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain daripada Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) al-Masih ibn Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan.” (Surah al-Tawbah: 31)

Adapun mereka yang berkuasa juga memerintah secara melampau sehingga berlagak seperti tuhan dengan menjadikan mereka berkuasa mengatasi undang-undang. Ekonomi yang melimpah-ruah kekayaannya dalam keadaan majoriti rakyat termiskin menjadi korban dengan menjadi pekerja yang diabdikan tanpa hak pemilikan yang bebas. Pada masa yang sama, berlaku keruntuhan akhlak kerana pengaruh nafsu tanpa kawalan agama yang sempurna. Firman Allah SWT:

﴿أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ٢١﴾

“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan (mencipta undang-undang) untuk mereka yang tidak diizinkan oleh Allah? Sekiranya tiada ketetapan yang menentukan (daripada Allah) tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” (Surah al-Shura: 21)

Adapun pelaksanaan Islam dalam negara Islam bersama masyarakat majmuk pula berlaku tanpa paksaan terhadap mereka untuk menganut Islam dan berkonsepkan adil kepada semua. Hal ini dibuktikan melalui perniagaan yang diizinkan kepada bukan Islam daripada luar negara Islam. Selain itu, kerajaan Islam juga membenarkan pertanian kepada rakyat bukan Islam sehingga diberikan hak pemilikan tanah. Bahkan, hak yang adil ditunjukkan dalam semua urusan kehidupan bermasyarakat majmuk.  

Kisah Khalifah ‘Ali RA yang kalah di mahkamah apabila beliau mendakwa seorang Yahudi bukan Islam menunjukkan bahawa kuasa kehakiman tidak diganggu walaupun oleh seorang ketua negara. Selain itu, banyak lagi kisah-kisah lain yang berlaku. Keadaan ini jelas menunjukkan sangat jauh perbezaan antara pemerintahan Islam dengan pemerintahan sekular yang mengangkat undang-undang ciptaan manusia sehingga meletakkan seseorang manusia itu mengatasi undang-undang.

Berita mengenai keadilan pemerintahan Islam tersebar keluar dari sempadan negara, khususnya di negeri-negeri yang berjiran di bawah jajahan Parsi dan Rom, menyebabkan rakyat lemah tertindas menunggu kedatangan Islam untuk menjadi penyelamat.

Kerajaan Islam berjaya membuktikan keadilan Islam dalam aspek ekonomi kehidupan mencari rezeki, dengan diberikan hak memiliki tanah pertanian dan hak milik berniaga kepada semua rakyat. Malah, diwajibkan pemberian zakat kepada penganut Islam dan bayaran jizyah (cukai keselamatan), kharaj dan ‘usyur (cukai hasil pertanian dan perniagaan) kepada rakyat bukan Islam.

Abu ‘Ubaidah ‘Amir bin al-Jarrah RA pernah bertindak memulangkan balik jizyah (cukai keselamatan) kepada rakyat bukan Islam, apabila kerajaan Islam menghadapi ancaman tentera Rom yang besar, kerana kerajaan Islam sudah tidak mampu melindungi mereka. Namun begitu, kalangan bukan Islam lebih rela tetap berada di bawah kerajaan Islam.

Selain itu, Islam juga berjaya memecahkan keadaan yang dikuasai oleh golongan feudal dan masyarakat yang berkelas. Bermula dengan golongan bangsawan, pahlawan, hartawan dan agamawan, di bawahnya rakyat biasa, seterusnya golongan terbesar dari kalangan petani yang tidak diberi milik, sehingga hamba abdi yang tidak diberikan hak kemanusiaan.

Islam melaksanakan keadilan yang lengkap dan menyeluruh dalam segala aspek kehidupan manusia, berpandukan firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨﴾

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)

Dalam Islam, hasil negara tidak menjadi hak milik orang yang berkuasa. Ini berpandukan firman Allah SWT:

﴿مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٧﴾

“Apa saja harta yang dipungut (fai’) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal dari penduduk kota, maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar antara orang-orang kaya sahaja antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah amat keras hukumannya.” (Surah al-Hashr: 7)

Ayat ini menerangkan bahawa pengendalian hasil negara hendaklah dilakukan dengan hukum Allah SWT yang telah menunjukkan sistem ekonomi yang adil kepada rakyat.

Sejarah Islam juga telah melaksanakan konsep Khilafah dan Raja Berperlembagaan. Semua pihak, termasuk yang paling berkuasa dalam kerajaan, berada di bawah undang-undang, bermakna tidak ada sesiapa yang dapat mengatasi undang-undang. Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرٗا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُۥٓاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا١٣٥﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Jika orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada kedua-duanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng daripada keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan atau pun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Nisa’: 135)

Sabda Rasulullah SAW:

وَايْمُ ‌اللهِ ‌لَوْ ‌سَرَقَتْ ‌فَاطِمَةُ ‌بِنْتُ ‌مُحَمَّدٍ ‌لَقَطَعْتُ ‌يَدَهَا.

“Demi Allah! sekiranya (puteri kesayanganku) Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku akan menjatuhkan hukuman potong tangan ke atasnya.” (Riwayat al-Nasa’i, No. 4901)

Selain itu, terdapat banyak lagi nas yang lain, termasuk yang melibatkan diri Rasulullah SAW sendiri sekiranya Baginda melakukan sesuatu kesalahan.

Apabila tumbangnya Empayar Rom di bumi Syam, Maharajanya menghantar pengintip bagi menyaksikan bagaimana keadaan umat Islam apabila memerintah. Apabila dilaporkan apa yang dilakukan oleh orang Islam, maka raja itu bertitah:

“Selamat tinggal! Tidak ada harapan untuk kita kembali berkuasa semula.”

Apabila tumbangnya Empayar Parsi, Maharajanya melarikan diri ke hujung wilayah Timur negaranya, lalu dihantar utusan kepada Maharaja China untuk meminta bantuan, kerana Islam juga akan mara sehingga ke China kalau dibiarkan.

Maharaja China yang bijak telah meminta utusan itu melaporkan segala tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Islam apabila mereka memerintah Parsi yang ditakluknya. Utusan itu secara berterus-terang menceritakan keadilan pemerintahan Islam terhadap semua.

Maka, China menolak permohonan tersebut dan menjadi negara yang paling awal mengadakan hubungan diplomatik dengan Islam, serta membenarkan dakwah Islam berlangsung sejak awal kedatangannya. Keadaan ini dapat disaksikan dengan adanya masjid di China yang dibina sejak zaman Nabi Muhammad SAW dan para Khulafa’ al-Rasyidin RA.

Kini, kita menyaksikan isu Islamofobia dibakar di Eropah dan Amerika Syarikat, namun Islam tetap mendapat sambutan yang luar biasa, khususnya dalam kalangan ilmuwan yang mengkaji Islam secara terperinci dan yang ingin mengetahui hakikat yang sebenar. Mereka menuduh Islam pengganas, tetapi kini keganasan berlaku dalam negara mereka sendiri, sehingga ada yang bertindak menembak kanak-kanak di sekolah dan pusat membeli-belah.

Kita menyaksikan kegagalan negara Yahudi Israel yang ditubuhkan secara rampasan bumi Palestin dengan bantuan penjajah, kini dalam keadaan kelam-kabut menunggu kemusnahannya pada bila-bila masa. Ini disebabkan oleh pendekatan yang paling ekstrem terhadap bangsa Arab, khususnya majoriti mereka yang menganut Islam sehingga dihalau secara paksa dan dimusnahkan rumah kediaman bagi penempatan bangsa Yahudi yang dibawa pulang dari seluruh pelosok dunia.

Negara besar yang membantu Israel sejak penubuhannya sehingga kini dengan sokongan politik, ekonomi sehingga senjata, kini sedang merudum dan menunjukkan sikap melampau pula terhadap Islam.

Walaupun negara kuasa besar Islam telah dijatuhkan sejak seratus tahun yang lalu dengan sebegitu rupa, sehingga tanah air umat Islam dan bangsanya yang menganut Islam dijajah dan dipecah-belah atau dibahagikan dalam kalangan negara penjajah itu. Namun begitu, ajaran Islam tidak boleh dihapuskan dan Islam tetap menembusi segala sekatan sehingga pengaruhnya kini menembusi sempadan negara Eropah dan Amerika. Ini menunjukkan bahawa sikap ekstrem terhadap Islam akan membawa rebah kepada kelompok yang memusuhi Islam.

Pada masa yang sama, kita juga menyaksikan negara besar seperti Rusia, bekas komunis yang paling ekstrem terhadap Islam, berubah mengambil pendekatan damai terhadap penganut Islam dalam negaranya. Sehinggakan, tidak ada agenda Islamofobia di Rusia seperti yang berlaku di negara Barat yang membakar al-Quran dan menyerang masjid, wanita yang berhijab dan penganut Islam yang bersolat.

Di Rusia, diizinkan ratusan ribu penganut Islam berhimpun untuk menunaikan solat Hari Raya di bandar Moscow, di samping banyak masjid yang dimakmurkan semula setelah dihalang pada zaman komunis yang paling ekstrem terhadap Islam. Selain itu, banyak pusat pengajian Islam yang diberikan keizinan untuk beroperasi.

Kini, Rusia kembali bangkit menjadi negara besar yang mencabar kuasa Barat yang mahu menjadi kuasa tunggal, laksana babi tunggal yang ganas terhadap negara lain. Sehingga kini, mereka melakukan provokasi dengan membantu Ukraine, negara yang dikuasai oleh kumpulan Yahudi dengan bantuan Israel yang berperang menentang Rusia. Negara-negara Pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan blok Barat diminta membekalkan senjata kepada Ukraine, satu langkah yang salah terhadap keamanan antarabangsa.

Oleh itu, golongan bukan Islam yang menjadi rakyat Malaysia dapat menyaksikan sifat wasatiyyah masih tersemat dalam diri bangsa Melayu yang kuat beragama Islam, walaupun banyak perkara mengenai Islam yang mereka jahil. Khususnya, di negeri Pantai Timur dan utara Semenanjung yang majoriti besar penduduknya Melayu Islam dengan banyaknya pondok pengajian agama. Rakyat Melayu Islam di sini boleh menerima minoriti bukan Islam berada di tengah-tengah mereka dengan aman dan bebas, dibuktikan ketika berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, kawasan tersebut tidak terbakar dan tidak berlaku kacau-bilau.

Kebenaran membuka sekolah jenis kebangsaan mengikut bahasa kaum dan ditetapkan menerima Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi (kebangsaan) tidak diberikan oleh negara lain selain Malaysia.

Maka, Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang ditubuhkan selepas kemerdekaan hanyalah mengeruhkan keadaan yang baik dalam hubungan masyarakat majmuk, laksana diberikan betis mahukan paha. Mereka cuba membawa agenda sekularisme dan ‘Malaysian Malaysia’ yang merombak kewujudan bangsa dan ingin melarutkan bangsa Melayu Islam bersama masyarakat bukan Islam secara liberal dengan meminggirkan bahasa kebangsaan, membela kalangan yang murtad, melakukan langkah terhadap saudara baharu yang masuk Islam dan langkah ekstrem yang terbuka melalui kenyataan para pemimpinnya.

Semuanya akan merosakkan keadaan aman yang membahayakan kalangan bukan Islam sendiri. Sepatutnya peristiwa 13 Mei 1969 menjadi pengajaran dan iktibar supaya tidak berulang lagi.

Begitu juga kalangan Melayu Islam di luar tabii yang bodoh terpengaruh dengan agenda DAP sehingga sanggup bersamanya. Malah, turut melemparkan tuduhan rasis terhadap suara kelompok yang membela Melayu yang tertekan dan terkebelakang oleh agenda sejak zaman penjajah, sehingga kini masih berterusan kesannya yang menghimpit Melayu Islam dalam aspek ekonomi dan pendidikan.

Kini, mereka pula cuba menghimpit melalui agenda politik dan ekonomi yang licik, tetapi terbuka dan melampau pula terhadap Melayu Islam dan Parti Islam dengan tuduhan-tuduhan sehingga bersama membawa Islamofobia yang disebarkan dalam kalangan bukan Islam. Percayalah mereka pasti akan kecundang dan merosakkan kedudukan mereka sendiri yang aman dan bebas kini.

Sebenarnya, perubahan yang dilakukan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) setelah berjaya menawan Singapura yang melumpuhkan Melayu Islam telah membawa akibat yang negatif terhadapnya. Walaupun dalam keadaan ekonomi yang teguh, tetapi kedudukan negara itu agak rapuh di tengah-tengah Nusantara yang besar majoriti Islamnya. Namun begitu, kita menyaksikan usaha pihak PAP yang memerintah Singapura memulihkan keadaan dengan menstabilkan hubungan antara kaum secara normal dengan masyarakat serantau.

Mendiang Lee Kuan Yew pernah mengadakan pertemuan dengan saya sebanyak dua kali, malah Menteri Luar Singapura juga pernah berkunjung dan bertemu. Kami mengadakan perbincangan untuk mengenali konsep Islam yang adil yang boleh menerima masyarakat majmuk dan hubungan antarabangsa mengikut Islam. Tindakan Singapura ini patut dialu-dialukan.

Adapun PAS tetap mengambil pendekatan hubungan damai dan tetap beristiqamah, berpandukan firman Allah SWT:

﴿وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ٦٣﴾

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka kamu juga hendaklah cenderung kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah Tuhan yang memberikan kekuatan kepadamu dengan pertolongan-Nya dan dengan (dukungan) orang-orang Mukmin. (62) Dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. (63)”  (Surah al-Anfal: 61-63)

Kami menerima sikap berdialog yang damai sebagaimana yang ditunjukkan oleh Singapura. Bukan bersikap melampau mahu berlawan dan menyanggah sehingga membanyakkan laporan polis untuk berlawan di mahkamah yang boleh mengheret kepada berlawan di jalan raya.

DAP perlu menjaga sempadan dalam politiknya yang ekstrem terhadap Islam dan parti  yang bercirikan Islam yang dilabelkan sebagai gelombang hijau yang berbahaya. Sebenarnya, golongan yang berbahaya ialah golongan bukan Islam yang ekstrem menguasai ekonomi secara liberal, menekan dan memintas perjalanan ekonomi umat Islam dan bumiputera, serta berusaha bagi menjatuhkan korporat Melayu yang berjaya sehinggalah peniaga kecil.

Selain itu, mereka juga mewujudkan kartel-kartel dan penyumbang rasuah paling besar yang menyebabkan kemusnahan politik dan ekonomi, serta penindasan terhadap rakyat tanpa mengira kaum.

Kini, mereka bergerak ke arah politik menguasai pengundi dalam pilihan raya dengan pendekatan mendekati parti Melayu dan menyerupai Melayu, bahkan menubuhkan parti berwajah Islam dengan bantuan dan sokongannya bagi memecahkan pengundi Melayu Islam.

Percayalah bahawa sikap pihak yang melampau terhadap Islam dan penganutnya pasti menjadi sebab tumbang dirinya, seperti juga kuasa besar pada zaman dahulu yang rebah tersungkur berada dalam lipatan sejarah.

Kami ingin menasihati kaum bukan Islam di Malaysia supaya jangan bersama parti yang melampau kerana akan merosakkan kedudukan mereka sendiri.

Kami percaya segala perancangan bagi menghalang kebangkitan kuasa politik Islam pasti gagal dengan kenyataan Allah SWT dalam al-Quran:

﴿وَقَدۡ مَكَرُواْ مَكۡرَهُمۡ وَعِندَ ٱللَّهِ مَكۡرُهُمۡ وَإِن كَانَ مَكۡرُهُمۡ لِتَزُولَ مِنۡهُ ٱلۡجِبَالُ٤٦ فَلَا تَحۡسَبَنَّ ٱللَّهَ مُخۡلِفَ وَعۡدِهِۦ رُسُلَهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٞ ذُو ٱنتِقَامٖ٤٧﴾

“Dan sesungguhnya, mereka telah membuat makar (perancangan dan helah) yang besar, padahal di sisi Allah jua (balasan) makar mereka itu. Dan sesungguhnya, makar mereka itu (amat besar) sehingga gunung-ganang dapat lenyap kerananya. (46) Oleh kerana itu, janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji-Nya kepada rasul-rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi mempunyai pembalasan. (47)” (Surah Ibrahim: 46-47)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 11 Zulqa‘dah 1442 / 31 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 31/5/2023

- Advertisement -