Duta Norway cetus kontroversi kritik filem India

Satu adegan filem India, Mrs. Chatterjee vs Norway (kiri) yang dikritik oleh Hans Jacob Frydenlund (kanan) kini mencetuskan kontroversi.
- Advertisement -

OSLO: Duta Norway ke India telah mencetuskan kontroversi berterusan impak kritikannya terhadap sebuah filem India, yang kini mengundang fokus tajam terhadap sistem perlindungan kanak-kanak di negara Scandinavia.

- Advertisement -

Pembela hak asasi manusia telah menggesa negara Scandinavia untuk membetulkan sistemnya sendiri kerana Norway menghadapi kebanyakan kes penderaan kanak-kanak di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah, lapor Anadolu Agency.

Kontroversi itu tercetus selepas kenyataan Duta Besar, Hans Jacob Frydenlund mengenai filem yang diilhamkan daripada kisah kehidupan sebenar pasangan India yang anak-anaknya dirampas oleh pihak berkuasa Norway pada 2011.

Frydenlund, pada Mac 2023 telah mengeluarkan kenyataan mengenai filem, Mrs. Chatterjee vs Norway lakonan utama pelakon Bollywood terkenal Rani Mukerji, mendakwa kes yang dirujuk telah diselesaikan sedekad lalu ‘dengan kerjasama pihak berkuasa India dan dengan persetujuan semua pihak yang terlibat’.

Kenyataan itu bagaimanapun, kini dibantah oleh aktivis hak asasi India dan Norway, menuduh diplomat itu dengan sengaja ‘memaklumkan maklumat yang salah’ kepada dunia.

“Filem (Mrs. Chatterjee vs Norway) itu  tidak mendakwa sebagai gambaran yang sahih dan tepat atau penggambaran peristiwa itu, mahupun pendapat pembuat filem atau orang yang dikaitkan dengan filem itu mengenai kejadian tersebut,” kata diplomat itu.

Fredenlund melabelkan filem itu sebagai ‘hanya sebuah karya fiksyen, walaupun ia berdasarkan kes sebenar’.

Sehubungan itu Suranya Aiyar, seorang peguam dan ibu dari India, dan Marius Reikeras, seorang peguam hak asasi manusia dan seorang bapa dari Norway, dalam satu kenyataan bersama pada Selasa (30 Mei), menuduh dan melabelkan diplomat Norway itu sebagai ‘enggan menghadapi realiti mengenai sistem perlindungan kanak-kanak Norway terkenal dengan kontrovesi  di peringkat antarabangsa’. 

Aiyarsebelum ini merupakan peguam yang  mewakili kes Sagarika Chakraborty, yang berdasarkan kisah kehidupan sebenar filem itu.

Terdahulu, Perkhidmatan Kebajikan Kanak-Kanak Norway (Barnevernet) telah dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia berhubung keputusan kontroversinya pada 2015, terutamanya terhadap keluarga pendatang.

Sejak 2015, Barnevernet dituduh kebanyakannya mengambil secara paksa  kanak-kanak daripada keluarga masing-masing atas alasan akibat ‘penderaan’ibu bapa mereka’, dan telah dikritik di dalam dan di luar negara.

Pada 10 September 2019, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) memutuskan bahawa Norway melanggar hak untuk menghormati kehidupan peribadi dan keluarga yang dilindungi di bawah Perkara 8 Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia.

“Malah, filem (Mrs. Chatterjee vs Norway) itu jauh lebih penting daripada yang orang boleh bayangkan, kerana ia memberi harapan dan keselesaan kepada beribu-ribu orang di Norway yang mengalami ketidakadilan yang kejam,” kata kenyataan itu yang menambah bahawa filem tersebut adalag warisan filem untuk ‘membetulkan prasangka’.

Menolak dakwaan Fredenlund berhubung penyelesaian kes yang banyak didedahkan itu, Aiyar dan Reikeras berkata kenyataan diplomat itu ‘jelas salah maklumat dan menunjukkan kekurangan pengetahuan’.

“Pengetahuan duta besar (Fredenlund) tentang topik ini jelas hampir kepada sifar,” kata kenyataan bersama itu, sambil menambah: “Apa yang benar ialah Norway sedang melalui krisis hak asasi manusia yang paling teruk dalam zaman moden ini.”

“Norway adalah juara dunia dalam mengkritik negara lain kerana melanggar hak asasi manusia sambil cuba menghapuskan pencabulan mereka sendiri di bawah permaidani sendiri,” tegas aktivis hak asasi manusia itu penuh sinis

Menuduh Oslo mempunyai jumlah tertinggi sabitan serius dalam kes kebajikan kanak-kanak di ECHR sejak September 2018 – mencecah 15  kes setakat ini –, kenyataan itu berkata: “Norway tidak menunjukkan keinginan untuk menyelesaikan masalah hak asasi manusia dalamannya, yang telah menyebabkan beribu-ribu orang untuk hidup dalam ketakutan yang tidak perlu di negara itu.”

Kes hampir sama berlaku pada 2019 terhadap pasangan rakyat Malaysia, Hairi Muhamad dan Norliha Khamis yang bekerja di Norway telah sedang berdepan dengan perbicaraan atas pertuduhan mendera anak-anak mereka.

Sejak Mei tahun tersebut, Hairi, 42, yang bertugas sebagai pakar kimpalan dan isterinya, Norliha, 42, hilang hak penjagaan terhadap lima anak mereka berusia antara empat dan 16 tahun selepas berdepan siasatan pihak berkuasa susulan kononnya ‘aduan’ dibuat seorang daripada anaknya.

Ia berikutan seorang daripada anak pasangan itu yang mungkin letih kerana berpuasa  di bulan Ramadan telah ditegur gurunya dan dia memaklumkan tertekan kerana berpuasa pada waktu yang lama (melebihi 12 jam). – HARAKAHDAILY 31/5/2023

- Advertisement -