Warga Arab Saudi diculik di Lubnan

Bassam Mawlawi. (FOTO: AFP)
- Advertisement -

BEIRUT: Kedutaan Arab Saudi di Lubnan mengesahkan bahawa ia telah menghubungi pihak berkuasa di Beirut mengenai kehilangan seorang warganegara Saudi yang menjadi mangsa culik di negara itu.

- Advertisement -

Kedutaan Saudi di Lubnan mengesahkan dalam satu kenyataan pada Isnin (29 Mei) sebagai berkata  bahawa ia telah menerima ‘pemberitahuan daripada keluarga seorang warganegara Saudi mengenai kehilangan komunikasi dengan mangsa di Beirut’.

Sehubungan itu, arahan telah dikeluarkan kepada pekerja di Kedutaan Saudi di Lubnan untuk tidak pergi ke jalan-jalan raya di sekitar bandar berkenaan, lapor Arab News.

Kenyataan itu berbunyi: “Warganegara Saudi, Mashari M., yang merupakan pekerja Saudi Airlines di Beirut dan tinggal di kawasan Aramoun di Gunung Lubnan telah diculik sekitar jam 3 pagi pada hari Sabtu (27 Mei) di Beirut. Penculik menghubungi keluarganya dari pinggir selatan Beirut dan meminta wang tebusan.”

Wang tebusan sebanyak  AS$400,000 (RM1.84 juta)  telah dituntut untuk mengembalikan warganegara itu  diterima dalam mesej audio daripada penculik.

Pegawai keselamatan berkata pekerja Saudi itu berada di bahagian pentadbiran di syarikat penerbangan itu, dan dipercayai empat orang berpakaian seragam tentera telah menculiknya.

Perkhidmatan keselamatan Lubnan dalam pada itu telah memantau tiga lokasi di pinggir selatan Beirut, Hazmieh dan Dahr Al-Baidar, manakala kereta mangsa kemudian ditemui di wilayah Bekaa.

“Kereta mangsa culik itu terpaksa dipindahkan berada di kawasan Bashoura berhampiran tengah Beirut,” ujar kenyataan daripada pihak keselamatan.

Mangsa dipercayai kali terakhir dilihat di kawasan Biel di tengah Beirut, dan dikesan di jalan raya menuju ke Lapangan Terbang Beirut, yang menuju ke kawasan Aramoun.

“Insiden itu sedang dipantau dengan teliti,” kata sumber tentera kepada Arab News.

Sementara TV Al-Arabiya melaporkan bahawa perkhidmatan keselamatan Lubnan mempunyai petunjuk awal tentang orang yang telah melakukan penculikan.

Menteri Dalam Negeri, Bassam Mawlawi berkata beliau telah memantau insiden itu dengan bantuan pasukan keselamatan dalam negeri Lubnan.

Mawlawi menegaskan beliau juga berhubung dengan duta kerajaan Saudi ke Lubnan, Waleed Bukhari berikutan insiden itu.

“Pihak kami berusaha untuk membebaskan mana-mana warganegara luar yang terdedah kepada sebarang bahaya di bumi Lubnan.

“Apa yang berlaku menjejaskan hubungan Lubnan dengan saudara kami, dan pelakunya akan dihukum dengan keras,” tegas Mawlawi.

Sementara, Bukhari dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan Komander Angkatan Tentera Lubnan, Jeneral Joseph Aoun pada Isnin.

Seorang pemerhati politik yang dirahsiakan namanya dalam pada itu menurut Arab News menyifatkan insiden penculikan warga Saudi di Lubnan  itu sebagai ‘perkara yang sangat berbahaya, tercela dan tidak boleh diterima dengan tujuan yang mencurigakan’. – HARAKAHDAILY 30/5/2023

- Advertisement -