PBB bergelut sedia makanan pelarian Rohingya

Olivier De schutter
- Advertisement -

DHAKA: Bangladesh tidak sepatut bersendirian menanggung beban lebih sejuta pelarian Rohingya ketika agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berdepan cabaran menyediakan makanan kepada mereka.

- Advertisement -

Pelapor Khas PBB Mengenai Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Olivier De Schutter, membuat kenyataan itu pada akhir lawatan selama 12 hari ke Bangladesh.

Beliau yang melawat kem-kem yang menempatkan pelarian dari Myanmar berkata, tindak balas antarabangsa untuk memenuhi dana yang diperlukan untuk menyokong pelarian adalah sangat tidak mencukupi.

Kira-kira AS$876 juta diperlukan untuk menyokong pelarian Rohingya selama setahun, tetapi hanya 17 peratus daripada jumlah itu dipenuhi setakat ini dan beliau menyifatkannya sebagai “skandal” pada sidang akhbar di ibu negara Bangladesh.

“Bangladesh tidak seharusnya dibiarkan memikul beban kehadiran pelarian itu sendiri. Agensi PBB sepatutnya disokong dengan lebih baik dalam kerja mereka,” kata De Schutter.

Beliau berkata, Program Makanan Sedunia telah dipaksa pada Mei untuk mengurangkan nilai baucar makanan bulanan yang diberikan kepada setiap pelarian daripada AS$12 kepada AS$10, serta akan dikurangkan lagi kepada AS$8 pada 1 Jun.

“Dalam konteks inflasi makanan tahun ini adalah kira-kira lapan peratus, ini bermakna bahawa di kem pelarian, kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan,” kata De Schutter.

Bangladesh melindungi lebih sejuta pelarian ketika Rohingya Muslim menghadapi diskriminasi meluas di Myanmar yang majoriti penduduk beragama Buddha. Kebanyakan mereka dinafikan kewarganegaraan dan hak-hak lain.

Lebih 700,000 orang melarikan diri ke Bangladesh sejak akhir Ogos 2017, apabila tentera Myanmar melancarkan “operasi pembersihan” terhadap mereka berikutan serangan kumpulan pemberontak. Keadaan keselamatan di Myanmar bertambah buruk berikutan rampasan kuasa tentera dua tahun lalu.

Bangladesh kini bekerjasama dengan China untuk memulakan projek perintis penghantaran pulang pelarian ke Myanmar. Bagaimanapun, PBB tidak terbabit dalam projek itu.

Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina berkata, beliau tidak akan memaksa mana-mana pelarian berpindah ke Myanmar. – AP

- Advertisement -