Dana judi: Jawapan di parlimen pendirian rasmi kerajaan

- Advertisement -

TANAH MERAH: Jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) di Dewan Rakyat minggu lepas sudah cukup untuk membuktikan tuduhan terhadap PN tidak berasas.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, jawapan Datuk Seri Azalina di Parlimen membuktikan tiada bukti tuduhan dibuat Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim kononnya PN mendapat dana daripada syarikat judi.

“Sepatutnya mana-mana pihak yang menuduh sewajarnya memohon maaf secara terbuka dan tarik balik sebab itu merupakan jawapan rasmi daripada kerajaan,” katanya selepas menyampaikan surat hak milik tanah di Masjid Iktikaf Kampung Panjang, Mukim Gobek dekat sini, semalam.

Pada majlis berkenaan seramai 243 penduduk menerima geran hak milik tanah. Hadir sama wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Baru-baru ini ketika menjawab soalan dibangkitkan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) Azalina dilapor berkata, SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu terbabit.

“Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu berkenaan,” kata Azalina dalam jawapan bertulis.

Oleh itu Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata,
PAS memohon pihak yang menuduh PN menggunakan dana judi semasa kempen pilihan raya tampil memohon maaf secara terbuka.

Bagaimanapun Anwar pada kenyataan Sabtu lepas dilapor memberitahu beliau tidak akan mengeluar kenyataan itu tanpa mempunyai sebarang asas. – HARAKAHDAILY 30/5/2023

- Advertisement -