Judi selamatkan PAS?

- Advertisement -

DALAM politik Malaysia, PAS dan judi adalah dua perkara yang saling berkaitan satu sama lain. Tiadalah industri judi tercabar tanpa PAS. Dan tiadalah PAS mendapat keuntungan antaranya adalah kerana industri judi selain daripada beberapa perkara besar yang lain. PAS telah bermusuh dengan judi semenjak mula. PAS tidak pernah membantah arahan al-Quran untuk menyahkan judi daripada kehidupan manusia seluruhnya.

PAS tidak berkompromi dengan judi, ini adalah kenyataan. Sejak bersama dengan Umno dalam BN lagi, PAS menjadi duri dalam daging terhadap pemilik premis judi dalam negara. Sehinggakan Ustaz Hassan Shukri menceritakan kepada Dr Fadhli Ghani yang Lim Goh Tong, pemilik kasino di Genting Highland pernah menawarkan PAS RM2 juta pada sekitar pertengahan tahun 70-an, tetapi ditolak PAS.

Apabila Kelantan dimenangi oleh PAS, antara perkara yang pertama yang dilakukan oleh PAS ialah menghapuskan premis judi di negeri tersebut. Ia dapat dilakukan hanya dengan Menteri Besar yang mempunyai kuasa eksekutif tertinggi di negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu, menandatangani surat arahan itu. Maka arahan itu telah menjadi satu bentuk kuasa yang memaksa pemilik premis mematuhinya. Tiada kuasa lain yang mampu mengatasinya

Maka berkatalah almarhum Dato’ Seri Bentara Setia, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA), bahawa betapa besarnya kuasa seorang Menteri Besar untuk melaksanakan sesuatu yang tertakluk dengan Perlembagaan. Maka berpolitik sebegini amat menguntungkan Islam.

PAS mendapat pujian daripada tindakan berani itu. Malah pujian yang lebih bermakna, datangnya dari wanita-wanita berketurunan Cina di Kelantan yang mempunyai suami atau ahli keluarganya yang menjadi tahi judi. Pada kebiasaannya apabila berjudi, mereka juga ada minum arak, balik lewat malam. Bonus kepada isteri dan anak-anak jika mereka kalah, maka menjadilah beg pukulan bagi si suami sebagai bonus.

Kini setelah ia diharamkan, amat berkuranglah tumbukan atau tamparan suami kepada anak isteri yang dahulu menjadi rutin bila kalah judi. Mereka amat gembira dan berterima kasih kepada almarhum TGNA. Tidak kiralah asas pengharaman judi itu kerana Islam atau tidak, bagi mereka, ia amat baik.

Bila PAS menang pula di Terengganu. Judi menjadi mangsa PAS sekali lagi. Dalam masa tiga bulan, premis judi diarahkan tutup dan waktu itu digunakan untuk mencari kerja yang lain. DAP yang bersama PAS dalam Barisan Alternatif (BA) ketika itu, tidak mampu berbuat apa-apa. Di Terengganu banyak wujud kelab judi yang pada kebiasaannya diisi oleh orang Melayu Islam.

Saya telah melihat sendiri salah seorang ‘runner’ di Kelab Pantai, Kampung Tanjung yang kerjanya waktu itu seperti ‘Food Panda’ atau ‘Grab Food’. Dia memenuhi apa sahaja permintaan kaki-kaki judi yang tidak boleh meninggalkan meja mereka. Dia kemudiannya menjadi ahli jemaah tetap Surau Besar yang hanya terletak seberang jalan kelab sahaja, setelah kelab ditutup. Sebelum itu, tidak pernah terlihat kelibatnya di surau. Bukankah itu baik bagi beliau?

Rakyat tertunggu-tunggu apakah tindakan BN apabila merampas kembali Terengganu pada tahun 2004 terhadap premis judi. Ternyata setelah bertukar tiga orang Menteri Besar pun, BN tidak berani membenarkannya semula. Malah BN turut bertindak memburu premis judi haram di Terengganu, walaupun judi memang haram dan jadah, jika kita terlibat, tidak kira berlesen atau tidak. Jadi, PAS sekali lagi mendapat nama, walaupun BN berusaha keras cuba mendapat kredit daripada penerusan mengharamkan premis judi.

Ramai yang tertanya-tanya, kenapa Kedah dan Perak, sewaktu PAS menjadi Menteri Besar di kedua negeri itu pada tahun 2008, tidak melaksanakan pengharaman judi, sebagaimana Kelantan dan Terengganu? Jawapannya mudah dan sangat terang. PAS tidak mempunyai kuasa dua pertiga dalam kerajaan itu. DAP mempunyai beberapa kerusi di Kedah yang membantu PR menang dengan PAS mempunyai kerusi terbanyak.

Jadi setelah berpenat lelah mengalahkan BN, tidaklah sayugia berperang pula dengan DAP kerana isu judi, nanti jatuh kembali Kedah ke tangan BN, judi tetap kekal, tetapi negeri sudah hilang. Namun apabila PAS menang tahun 2019 dengan majoriti dua pertiga, premis judi diberi tempoh sebelum ditutup sepenuhnya oleh Kerajaan PAS. Jelas, jika tiada kuasa, jangan bertindak lebih-lebih. Takut hilang kuasa, dapat kepada musuh.

Sama juga dengan apa yang berlaku dalam Kerajaan Persekutuan tahun 2022 yang mana dikatakan cabutan judi telah diberi kebenaran ditambah menjadi 22 kali berbanding di zaman PH. Sedangkan PAS ada bersama PN menjadi Kerajaan Pusat. Baca semula perenggan berkenaan Kedah itu dan anda akan faham. Kata dasarnya ialah berkuasa penuh. Dan jangan lupa nilai kutipan cukai cabutan lapan kali PH itu, melebihi nilai 22 kali cabutan PN. PH kata cukai waktu 2019 bertambah. Ya, betul, tetapi pada tahun 2022, tiada pengurangan cukaipun oleh PN. Cukai yang sama diguna PH. Kenapa 22 kali masih rendah nilai kutipannya berbanding lapan kali? 

Semalam, judi sekali lagi menjadi penyelamat kepada PAS setelah jawapan di Parlimen oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman menyatakan bahawa tiada kertas siasatan yang dibuka  terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN) atas pertuduhan PN menerima dana dari syarikat judi ketika kempen PRU15, sebagaimana yang dibayangkan oleh Perdana Menteri ke-10 (PMX) beberapa bulan lalu. Begitulah kisah keberuntungan PAS melalui judi, yang sebenarnya mahu ditumpangkan sialnya kepada PAS oleh pihak lawan, sebaliknya bertukar menjadi tuah.

PAS dikenali dengan keilmuan para ulamaknya di seluruh Malaysia dan dunia. Akan tetapi PAS juga dikenali melalui perkara dosa sebegini bagi menunjukkan perbezaan PAS dalam menangani perkara dosa, berbanding dengan parti lain. Lebih lagi, PAS sengaja dipromosikan oleh musuh yang mulanya berniat mahu menjatuhkan maruah PAS, tetapi Allah menterbalikkannya menjadi kemuliaan apabila rakan sepasukan mereka sendiri menjadi mesin basuh, membersihkan PAS sebersih-bersihnya dengan penafian sebegitu. Allahamdulillah, tsumma alhamdulillah.

MOHD NASIR ABDULLAH
26 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 26/5/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -