RUU Hotel: Bimbang ekonomi rakyat terjejas

- Advertisement -

BARU-baru ini Sidang DUN Perak telah meluluskan RUU Hotel. Secara umumnya, RUU ini telah menetapkan bahawa ‘homestay’ termasuk dalam kategori Hotel. 

Jadi, kesannya, homestay turut terpaksa membayar cukai-cukai yang ditetapkan, terpaksa mengikut ketetapan ketetapan yang pastinya akan menambahkan beban, dan sebagainya.

Pelbagai ketetapan yang bimbang akan mencekik, yang bakal dikenakan kepada pengusaha homestay, bimbang mendorong mereka untuk gulung tikar, dan hilang keupayaan untuk mengusahakannya.

Justeru, sektor ini seolah olah dilihat akan dimonopoli oleh para tauke yang mengusahakan hotel, yang pastinya ‘margin’ keuntungan perusahaannya lebih besar daripada homestay.

Larangan monopoli

Pertama sekali, Allah S.W.T mengingatkan kita mengenai larangan monopoli;

- Advertisement -

مَّاۤ أَفَاۤءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِی ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡیَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِینِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِیلِ كَیۡ لَا یَكُونَ دُولَةَۢ بَیۡنَ ٱلۡأَغۡنِیَاۤءِ مِنكُمۡۚ

“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”

(al-Hasyr: 7)

Berdasarkan perbahasan di Sidang DUN, kami melihat bahawa RUU ini akan mengganggu kegiatan ekonomi rakyat, yang dilakukan secara kecil-kecilan. Ia berbeza dengan hotel-hotel yang biasanya diusahakan oleh golongan tauke.

Homestay yang biasanya diusahakan oleh rakyat Bumiputera secara bebas, membuka ruang persaingan sihat dengan hotel. Tetapi dengan RUU ini menyebabkan wujudnya kekangan bagi pengusaha homestay.

Pengusaha homestay dilihat akan terbeban dengan ketetapan-ketetapan yang dibuat. Bimbang akan memberi kesan kepada pengusaha kecil untuk gulung tikar.

Pengajaran daripada keruntuhan Saba’

Dalam hal ini, kita perlu sedar bagaimana Kerajaan Saba’ yang asalnya disebut sebagai بلدة طيبة ورب غفور (negeri yang baik, dan Tuhan mengampunkan mereka).

Kerajaan Saba’ dikenali sebagai kerajaan yang kaya hasil buminya dan kuat sistem ekonominya. Ia digambar dengan petikan جنتان عن يمين وشمال ayat 15 dan وقدرنا فيها السير ayat 18, Surah Saba’.

Petikan جنتان عن يمين وشمال bermaksud taman di kiri dan kanan digambarkan sebagai kekayaan hasil tanaman mereka.

Manakala وقدرنا فيها السير menunjukkan bandar-bandar yang berdekatan untuk mereka mendapatkan keperluan dan berdagang.

Namun, kerajaan yang gemilang ini akhirnya runtuh dengan azab Allah S.W.T. Disebabkan mereka tidak melaksanakan suruhan Tuhan sebagai tanda syukur, Allah S.W.T ranapkan hasil buminya dengan terpecahnya empangan yang menjadi sumber hasil bumi mereka:

فَأَعْرَضُوا فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنَاهُم بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَيْ أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَيْءٍ مِّن سِدْرٍ قَلِيلٍ

“Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.”

(Saba’: 16)

Mereka ditimpa bencana disebabkan ada segolongan yang meminta supaya dijauhkan perjalanan, yang asalnya dekat. Maksudnya, berharap agar laluan berdagang yang mudah, menjadi sukar.

Perjalanan itu merupakan laluan rakyat untuk mendapat sumber keperluan atau berdagang secara kecil-kecilan. Allah S.W.T berfirman menceritakan mengenai kemudahan laluan itu.

وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ الْقُرَى الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا قُرًى ظَاهِرَةً وَقَدَّرْنَا فِيهَا السَّيْرَ ۖ سِيرُوا فِيهَا لَيَالِيَ وَأَيَّامًا آمِنِينَ

“Dan – di antara tempat tinggal mereka (di Negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah Negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), – Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui jalan itu), dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): “Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman”.”

(Saba’: 18)

فَقَالُوا رَبَّنَا بَاعِدْ بَيْنَ أَسْفَارِنَا وَظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ فَجَعَلْنَاهُمْ أَحَادِيثَ وَمَزَّقْنَاهُمْ كُلَّ مُمَزَّقٍ

“(Maka kemakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu berkata: “Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah bandar dengan yang lain)”, dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri; lalu Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka: buah mulut orang ramai, serta kami pecah belahkan mereka berkecai-kecai.”

(Saba’: 19)

Ambillah pengajaran

Asalnya rakyat Saba’ bebas berdagang dengan kemudahan laluan yang ada. Tetapi terdapat segelintir golongan yang ingin memonopoli perdagangan. Lantas mereka mengharapkan supaya kemudahan laluan tersebut disukarkan. 

Ini kerana apabila laluan perdagangan itu disukarkan, akan menyebabkan golongan tertentu sahaja (tauke) yang boleh berdagang, kerana mempunyai dana, dan modal yang besar. 

Manakala peniaga kecil, yang tidak mempunyai modal besar, tidak dapat lagi berdagang akibat kesukaran tersebut. Hal ini menyebabkan berlakunya monopoli barang dagangan.

Agenda ‘membunuh’ peniaga dan pengusaha kecil ini, telah menyebabkan Allah S.W.T menurunkan azab kepada mereka. Azab yang diturunkan ialah kurangnya hasil bumi mereka sepertimana yang digambarkan di dalam ayat 16.

Asalnya hasil bumi mereka bergantung dengan empangan. Namun, setelah azab diturunkan, empangan tersebut pecah, dan tanaman tanaman mereka yang dahulunya sangat baik, bertukar menjadi buruk.

Konteks Kaum Saba’ yang dirakamkan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran, menjurus kepada monopoli perdagangan. Namun, agenda ini berkaitan dengan isu penindasan terhadap peniaga atau pengusaha kecil.

Kesukaran peniaga atau pengusaha kecil untuk berniaga itu boleh digambarkan pada hari ini sebagai himpitan ekonomi disebabkan pelaksanaan sistem sistem yang mencekik, yang hanya diingini oleh segolongan manusia sahaja.

Kesimpulan

Nasihat kami, mana mana pihak yang diberi tanggungjawab memerintah negara atau negeri, perlulah berusaha sedaya upaya untuk membantu peniaga atau pengusaha kecil. 

Ekonomi rakyat perlu diutamakan. Mereka perlu diberi kemudahan untuk berniaga dan mengusahan ekonomi mereka. Sekurang kurangnya ia mengendurkan isu kuasa beli yang lemah di kalangan rakyat, dan sebagainya.

Elakkan membebankan rakyat dengan ketetapan ketetapan yang ‘mencekik’. Kurangkan kerenah, dan mudahkan urusan rakyat untuk berniaga dan mengusahakan ekonomi.

MUHAMMAD MUJAHID IR HAJI MOHAMMAD FADZIL
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak
PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 26/5/2023

- Advertisement -