Berjimat cermat guna air ketika cuaca panas

Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan dinasihat berjimat cermat dan tidak membazir menggunakan air memandangkan cuaca agak panas sekarang.

- Advertisement -

Anggota Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, Islam sejak awal lagi memetingkan berjimat cermat termasuk ketika berwuduk.

Katanya, Islam mendidik ketika mengambil wuduk hendaklah tidak
membazirkan air.

“Amalan jimat cermat amat penting dalam kehidupan harian kita,” katanya di sini.

Mohd Nassuruddin juga berkata, apa yang berlaku sekarang paip dibuka secara berterusan ketika mengambil wuduk sehingga berlaku pembaziran air.

Menurutnya, perbuatan itu sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat negara ini dengan menggunakan air yang banyak ketika berwuduk.

“Air yang mengalir keluar daripada paip lebih banyak berbanding air yang digunakan ketika berwuduk.

“Saya pernah lihat almarhum Tuan Guru Nik Aziz mengambil air dengan menadah di tangan dan kemudian paip ditutup.

“Sebaliknya ada dalam kalangan kita ketika berwuduk membuka paip sampai
habis sehingga air mengalir begitu kuat,” tambahnya.

Baru-baru ini jajahan Jeli merekodkan cuaca panas pada gelombang haba tahap dua boleh mencecah sehingga 40 darjah Celsius selama tiga hari.

Menurut Jabatan Meteorologi, 15 kawasan di Semenanjung berada pada tahap satu iaitu kategori berjaga-jaga iaitu Perlis, Sik, Hulu Perak, Kinta, Batang Padang, Raub, Bentong, Maran, Lipis, Jerantut, Jempol, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Kuala Terengganu.

Bagaimanapun minggu ini Kota Bharu mulai dilanda hujan. Semalam hujan agak lebat biarpun tidak lama. – HARAKAHDAILY 19/4/2023

- Advertisement -