Al-Quran sebagai manual manusia urus dunia

Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Al-Quran sepatutnya dijadikan sebagai buku manual untuk manusia mengurus apa sahaja urusan di dunia termasuk keluarga dan pentadbiran negara.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata,
umat Islam wajib melaksanakan kehidupan berpandukan al-Quran memandangkan ia adalah amanah besar yang diberikan Allah SWT.

“Oleh sebab itu orang yang belajar berpandu al Quran akan dijadikan orang yang terbaik bagi memimpin ummah,” katanya di pejabat Harakah hari ini.

Beliau berkata demikian pada tazkirah Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) yang turut disiarkan secara atas talian melalui Facebook TV PAS dan HarakahTV.

Tazkirah tersebut merupakan siri terakhir pada Ramadan tahun ini.

Muhammad Fawwaz turut menasihatkan umat Islam berpegang teguh dengan al-Quran bagi mengurus dunia dan mengelakkan daripada sebarang kerosakan.

“Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud ‘Islam hanya akan tinggal nama sahaja, tidak tertinggal dalam al-Quran kecuali tulisannya semata-mata, masjid dibina dengan hebat tetapi kesunyian dan segelintir ulama akan jadi manusia paling jahat,” ujarnya.

Oleh itu katanya umat Islam wajib menjaga amanah yang terkandung dalam al-Quran walau pun ada pihak sering menghina kitab suci tersebut. – HARAKAHDAILY 19/4/2023

- Advertisement -