Pertandingan bunuh kucing liar cetus kekecohan

- Advertisement -

WELLINGTON: Pertandingan di New Zealand untuk kanak-kanak memburu dan membunuh kucing liar dibatalkan berikutan bantahan orang ramai dengan kumpulan pelindung kebajikan haiwan menyambut baik keputusan itu.

Penganjur pertandingan memburu tahunan itu mencetuskan kekecohan apabila mengumumkan kategori baharu untuk kanak-kanak bawah 14 tahun, iaitu memburu kucing liar dengan hadiah utama sebanyak NZ$250 (AS$155).

- Advertisement -

Kategori itu yang disertakan dengan amaran supaya tidak membunuh haiwan peliharaan, telah dibatalkan, kata penganjur dalam satu kenyataan semalam.

Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) New Zealand gembira dan lega kerana kategori kanak-kanak yang melibatkan menembak kucing liar dibatalkan.

“Kanak-kanak serta orang dewasa, tidak akan dapat membezakan antara kucing liar, sesat atau kucing peliharaan yang ketakutan,” kata jurucakap SPCA.

Pertandingan itu diteruskan dengan kategori lain, iaitu memburu babi hutan dan rusa, dijalankan sebagai aktiviti kutipan derma Sekolah Rotherham di Pulau Selatan negara itu.

Penganjur berkata “emel keji dan tidak sesuai” telah dihantar “ke sekolah dan pihak lain yang terlibat”.

“Penaja dan keselamatan sekolah adalah keutamaan kami, jadi keputusan telah dibuat untuk menarik balik kategori itu pada tahun ini bagi mengelak tindak balas lanjut,” tulis penganjur di Facebook.

Kucing liar adalah perosak di New Zealand kerana mempunyai kesan besar terhadap burung asli, kelawar, cicak, tikus dan serangga, menurut Jabatan Pemuliharaan. – AFP

- Advertisement -