ANAK kecil main api, terbakar hatinya yang sepi, air mata darah bercampur keringat, bumi dipijak milik orang.
Nenek moyang kaya-raya, tergadai seluruh harta benda, akibat sengketa sesamalah kita, cinta lenyap di arus zaman.
Indahnya bumi kita ini, warisan berkurun lamanya, hasil mengalir ke tangan yang lain, peribumi merintih sendiri.
Masa depan sungguh kelam, kan lenyap peristiwa semalam, tertutuplah hati terkunci mati, maruah peribadi dah hilang.
Demikianlah bait-bait lagu warisan, lagu patriotik yang sering dinyanyikan di himpunan orang-orang Melayu samada di program tatanegara, IPTA mahupun himpunan politik khasnya yang melibatkan Umno. Lagu ‘Anak kecil main api’ ini bermaksud mahu membangkitkan kesedaran dan keinsafan di kalangan anak-anak watan yakni orang-orang Melayu agar bersatu dan tidak berpecah di tanah air sendiri.
Kegagalan bersatu-padu akan mengakibatkan bumi warisan bertuah ini tergadai dan akhirnya menjadi milik orang, walaupun umat Melayu ini ramai.
Menyentuh atau membangkitkan isu berkenaan penyatuan umat Melayu ini bukan bermakna kita rasis atau cenderung perkauman. Tetapi realitinya umat Melayu merupakan majoriti penduduk di tanah air, justeru wajar sangat di pelosok dunia mana pun, kaum majoriti ini menguasai kaum minoriti, jika tidak akan berlakulah ketidakseimbangan sosial sehingga mampu mencetuskan ketidakstabilan politik sebagaimana kita saksikan di Palestin hari ini contohnya.
Begitu juga contohnya jika golongan ‘African American‘ yang merupakan golongan minoriti menguasai Dewan Kongres Amerika Syarikat, pasti golongan majoriti kulit putih akan berasa kecil dan tidak selesa sedangkan mereka merupakan kelompok majoriti.
Kemampuan menyatupadukan umat Melayu di tanah air, akan menentukan kuasa politik mereka menjadi kuasa yang berpengaruh dan jika ianya diurus dengan baik melalui kepimpinan yang berintegriti dan bertaqwa pasti akan berupaya membawa kemakmuran dan keadilan buat semua termasuklah pada golongan minoriti.
Baru-baru ini di Sabak Bernam, Selangor, Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan Baginda terhadap perpecahan di kalangan umat Melayu akibat perbezaan politik. Titah Tuanku jika ini berlaku pasti umat Islam akan menjadi lemah di negara sendiri. Sultan Sharafuddin turut menegaskan kesannya, nescaya Melayu nanti akan hilang kuasa memerintah negara malah akan menjadi satu bangsa yang mundur dan terpinggir.
Baginda bertitah lagi bahawa peristiwa yang berlaku di beberapa negara Islam terutamanya di Timur Tengah dan sejarah keruntuhan Kerajaan Melayu Melaka juga boleh diambil iktibar serta tauladan.
“Ini bagi menunjukkan bahawa sesebuah kerajaan yang hebat juga boleh runtuh akibat perpecahan dan permusuhan dalam kalangan umat Islam.”
Ternyata keprihatinan dan kebimbangan Sultan Selangor ini turut dirasakan rakyat jelata khasnya di kalangan umat Melayu. Mereka telah lihat dalam PRU ke-14 lalu apabila hasil perpecahan politik umat Melayu yang gagal bersatu malah bersaing pula sesama sendiri, sedangkan masyarakat bukan-Melayu tidak berpecah dan jelas bersama dalam kecenderungan politik mereka, kuasa politik Melayu rebah sehingga parti politik bukan Melayu boleh dominan dan mencaturkan kuasa.
Malang lagi dalam PRU ke-15 baru-baru ini sekali lagi parti-parti politik terbesar Melayu bersaing sesama sendiri, keputusannya hari ini majoriti Ahli Parlimen Melayu duduk di kerusi pembangkang sedangkan yang memerintah sebaliknya.
Dan sekali lagi hari ini kita melihat kestabilan politik tidak tercapai, walaupun Umno memilih menyertai kerajaan campuran pimpinan PH yang didominasi DAP, namun umat Melayu tetap resah kerana Umno hari ini cuma punya 26 kerusi sehingga menjadi rakan kongsi yang tidak berkuku.
Ia diakui oleh mantan Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakub yang menganggap ‘perkahwinan’ antara Umno dan PH ini sebagai kahwin paksa bukannya atas dasar suka sama suka. Lantas perkahwinan ini sukar untuk mampu bertahan kerana sedang bercakaran sesama sendiri.
Oleh hal yang demikian wajar sangat umat Melayu hari ini menyemak semula keutamaan serta kecenderungan politik masing-masing. Jika kita mahu melihat kuasa politik umat Melayu ini kuat dan kukuh sehingga mampu mempengaruhi dasar dan perancangan kerajaan khasnya berkaitan nasib dan masa depan Melayu Islam dalam negara, maka wajarlah kita menyokong parti yang sedang menjulang perjuangan politik Penyatuan Ummah.
Umat Melayu jangan lagi berpecah politiknya, umat Melayu biar raih untung dan terbilang di tanah air sendiri bukannya merempat dan melukut di tepi gantang.
Keperluan untuk menyatukan tuntutan politik kita wajib diutamakan. Proses memulihkan kedudukan politik di tanah air memerlukan kesedaran kita dan seterusnya bertindak membawa perubahan dengan satu hati dan satu suara.
Politik yang berjaya bukannya berjuang untuk menyelamatkan individu dan batang tubuh orang tertentu, tetapi politik yang bermaruah adalah yang meletakkan kepentingan agama dan bangsa di hadapan. Teliti dan insafilah mesej dari bait-bait terakhir lagu, ‘Anak kecil main api’ ini:
Kini kita cuma tinggal kuasa, yang akan menentukan bangsa, bersatulah hati bersama berbakti, pulih kembali harga diri.
Kita sudah tiada masa, majulah dengan maha perkasa, janganlah terlalai teruskan usaha, Melayu kan gagah di Nusantara.
Pastikan semaksima mungkin umat Melayu keluar mengundi dalam Pilihan Raya enam negeri tidak lama lagi dan buktikan yang kita ini mampu bersatu dan mampu membina kekuatan sendiri. Selebihnya serah kepada Allah S.W.T. Biar Melayu kembali gagah di nusantara.
ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 19/4/2023