‘The Greater Kedah’: Suatu legasi era baharu MB Sanusi

- Advertisement -

BARU-baru ini, Menteri Besar Kedah telah mengumumkan perancangan The Greater Kedah, suatu gagasan yang merencana semula kegemilangan Kedah dalam mendepani era moden. 

Kedah juga adalah nama besar yang dilakar dalam sejarah peradaban di Nusantara, namun terselindung di sebalik persembahan naratif penceritaan sejarah. Kewujudan tamadun Kedah Tua sebagai antara peradaban awal Melayu di Asia Tenggara memberikan mesej bahawa Kedah mempunyai lakaran sejarah terbilang yang tersendiri yang mesti dibanggakan. 

Begitu juga peperangan Musuh Bisik 1821 yang terkenal menerusi pertembungan tentera Kedah di bawah Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II dengan dua kuasa besar serentak iaitu British dan Siam. 

Dalam era moden, nama Kedah lebih sinonim dengan sektor pertanian. Kedah menjadi negeri Jelapang Padi yang membekalkan lebih 40 peratus produktiviti industri padi dan beras kepada negara. Tetapi Kedah tersenarai sebagai negeri ‘miskin’.

Kehadiran Menteri Besar Kedah YAB Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sebenarnya telah mengupayakan pelan pembangunan Kedah 2035 ke tahap yang optimum. Perancangan ini, telah mengambil kira perancangan dan projek-projek yang telah dirancang sebelum ini, termasuklah sebelum kepimpinan almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak dan selepas beliau. Pelbagai perancangan diusahakan dengan penuh teliti dan diurus sebaik mungkin bagi mencapai sasaran yang diletakkan.  

Horizon kecemerlangan negeri di era baru ini ‘diangkat’ dengan pencapaian pelaburan masuk RM68.3 bilion pada tahun 2021, walaupun masih tempoh pandemik COVID-19, melebihi sasaran dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 iaitu RM10 bilion setahun. 

Kedah mula membuka mata ramai pemain industri utama bukan sahaja di rantau Asia Pasifik, bahkan juga di Eropah khasnya untuk pelaburan di Kulim Hi-Tech Park. Kemasukan syarikat kereta mewah terkemuka, Porsche, mengangkat nama Kedah dan Malaysia umumnya dalam industri automotif. Pelaburan ini sudah pasti membuka peluang pekerjaan yang banyak serta merancakkan ekonomi di Kedah. Ia juga sudah pasti akan menjana ‘peluang baru’ pembangunan ekonomi Negeri Kedah.

Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap, SBEZ di Bukit Kayu Hitam, Daerah Kubang Pasu, projek naik taraf 5 Loji Rawatan Air (LRA) dan penggantian paip lama mengurangkan NRW serta kemudahan perhubungan yang lebih efisien antara yang telah dirangka dalam pembangunan Negeri Kedah. Kemudahan sistem E10 yang diperkenalkan juga telah menjadi pemangkin pertumbuhan sektor perindustrian dan perkilangan di Kedah.

Meskipun di sebalik tekanan yang dihamburkan terhadap kepimpinan YAB Menteri Besar, satu lagi projek mega sedang merintis denai pelaksanaannya iaitu Kedah Aerotropolis (sebelum ini dikenali sebagai KXP) dan ianya telah diusahakan sejak 2014 lagi dan telah dibincangkan berpuluh kali oleh jabatan teknikal Kerajaan Persekutuan dengan agensi kerajaan negeri. 

Projek dengan anggaran sekitar RM7 bilion ini melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI) akan menjadi ‘game changer’ utama kepada pembangunan di wilayah koridor Utara. Projek ini sedang dalam fasa memenuhi kriteria yang ditetapkan Majlis Perancang Fizikal Negara dan sepatutnya tidak ada halangan untuk ditemeterai segala perancangan yang diatur.

Selain aspek bekalan makanan dan pembangunan, kepimpinan Menteri Besar juga membentuk dasar Cordoba of Kedah dengan UniSHAMS disasarkan sebagai pelantar keilmuan yang utama. Program ini akan melibatkan secara kolektif semua institusi pendidikan di Kedah bermula sejak prasekolah sehinggalah universiti termasuklah institusi pondok dan tahfiz.

Dalam erti kata yang mudah, The Greater Kedah adalah rangkaian kemajuan Negeri Kedah yang bukan sahaja tertumpu daripada Kedah sebagai Negeri Jelapang Padi. 

Bahkan ia mencakupi kemajuan pembangunan dengan kerancakan ekonomi, pelaburan yang masuk ke negeri ini, pelaksanaan projek berimpak tinggi negeri dan jaringan perhubungan dengan lebih efisien serta pembangunan keilmuan The Cordoba of Kedah. 

Dengan gabungan Kedah Aerotropolis sebagai The Memphis of Asian dan gagasan Cordoba of Kedah, tidak mustahil langkahan ke arah The Greater Kedah sebagaimana yang disasarkan YAB Menteri Besar akan menjadi suatu realiti baru bagi Negeri Kedah kelak insya-Allah

Hasrat utama di sebalik The Greater Kedah akan berbalik kepada nikmat kesejahteraan kepada rakyat bersesuaian dengan prinsip Kerajaan Negeri Kedah ketika ini iaitu Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua. YAB Menteri Besar selalu mengulangi gagasan, ‘Kedah, tempat orang miskin berteduh, tempat orang kaya berbakti’. Itulah matlamat akhir The Greater Kedah. Suatu kemajuan yang bermatlamat mensejahterakan rakyatnya.

YB MOHD AZAM ABD SAMAT
ADUN Sungai Limau
17 April 2023 / 26 Ramadan 1444H – HARAKAHDAILY 17/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -