
KOTA BELUD: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kota Belud mengimarahkan 10 Ramadan terakhir dengan menyantuni golongan asnaf di sekitar Kampung Tempasuk 2.
Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling berkata, sebanyak 70 bakul makanan asas telah diserahkan kepada asnaf di sini kelmarin, yang mana 67 serahan dilakukan di Masjid Nurhikmah manakala 3 serahan lagi dilakukan ketika ziarah di rumah asnaf tersebut.
“Alhamdulillah, serahan bakul makanan telah berjaya dilaksanakan kepada mereka yang memerlukan. Semoga dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya.
Turut hadir mengimarahkan program tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Sabah, Dr Aliakbar Gulasan.
Sehubungan itu, beliau yang juga merupakan anak jati kampung tersebut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program kali ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Nurhikmah, Eddie Timpas berharap agar program seperti ini tidak ternoktah di sini sahaja, namun perlu diteruskan pada masa-masa akan datang.”
“Program sebegini bukan sahaja dapat membantu meringankan beban penerima, namun sedikit sebanyak telah mengeratkan tali silaturrahim sesama Islam antara penduduk kampung dan juga pimpinan PAS itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/4/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!