175kg juadah iftar ‘diselamatkan’ dari jadi sisa makanan

Fakhrul Anwar pada Program Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran Sempena Bulan Ramadan 2023 di Bazar Arau, Kangar, Perlis baru-baru ini.
- Advertisement -

ARAU: Sebanyak 90.456 kilogram minuman dan 84.803kg makanan juadah iftar yang masih boleh dimakan berjaya diselamatkan daripada dibazirkan sebagai sisa makanan, sebelum diagihkan kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, di sini sepanjang tempoh 10 hari pelaksanaan Program MySavefood di Bazar Radaman Arau.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Fakhrul Anwar Ismail berkata, sisa makanan merupakan penyumbang utama di tapak pelupusan sampah di samping menjadi penyebab kepada pengeluar gas rumah hijau (GHG) ketiga terbesar di Malaysia.

- Advertisement -

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan membuat perancangan awal sebelum ke bazar Ramadan dan bersederhana dalam menyediakan makanan (juadah untuk iftar),” katanya pada Program Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran Sempena Bulan Ramadan 2023 di Bazar Arau, baru-baru ini.

Menurut beliau, SWCorp menerusi syarikat konsesi E-Idaman Sd. Bhd. turut merancang operasi khas bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Operasi tersebut, ujar beliau melibatkan kutipan sampah pukal khas seminggu sebelum sambutan perayaan berkenaan di samping penukaran tong sampah berkapasiti 1,100 liter kepada tong ‘roll on roll off’ (roro) melibatkan 12 lokasi tumpuan (‘hotspot’) yang menjana kadar jumlah sampah tinggi.

“Rondaan secara berkala juga akan dilaksanakan oleh SWCorp bagi memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih dan terkawal,” katanya.

Berkaitan kempen tersebut, Fakhrul Anwar berkata, insiatif itu dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada peniaga dan pengunjung supaya mengelakkan pembaziran makanan sewaktu penyediaan juadah berbuka puasa, selain hanya  berbelanja mengikut keperluan.

Sehubungan itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia diatas penglibatan di dalam Program MySavefood di Bazar Radaman Arau. 

Persatuan Kebajikan Usahawan Mikro Malaysia yang bersama melaksanakan Kempen Kutipan Minyak Masak Terpakai dengan membekalkan tong minyak kepada peniaga bazar turut diberikan sijil penghargaan.

Sesi itu diteruskan dengan edaran kit info kesedaran awam dan tagging kebersihan serta edaran bubur lambuk kepada peniaga dan pengunjung bazar.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar, Norazlan Yahaya; Setiausaha Bahagian, Bahagian Kerajaan Tempatan, Hasbullah Abd Rashid; Pengurus Kawasan Perkhidmatan Kangar Environment Idaman Sdn. Bhd, Ibrahim Shaari  serta wakil Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia dan wakil Persatuan Kebajikan Usahawan Mikro Malaysia.

Tambahnya, janaan sisa makanan di tapak pelupusan sampah sekitar negeri ini bagi tempoh dua minggu Ramadan meningkat sebanyak 12.9 tan metrik sehari meliputi jumlah 21.53 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Secara purata, sebanyak 0.384 tan metrik sisa makanan dibuang ke tapak pelupusan dalam masa sehari dan mampu menampung hampir 1,280 orang dengan hidangan seberat 300 gram,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/4/2023

- Advertisement -