PAS Labuan bantah aktiviti tidak madani dan rosakkan moral

- Advertisement -

PAS Labuan sedia maklum bahawa terdapat satu rancangan persembahan komedi iaitu ‘Kumarsutra Greatest Hits Tour 2023’ bakal diadakan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan pada 20 Mei 2023, di mana penyampai persembahan tersebut merupakan seorang selebriti transgender.

PAS Labuan membantah sebarang acara yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat Labuan, apatah lagi jika terdapat unsur mempromosi LBGTQ, di saat umat Islam baharu saja selesai menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dan menyambut bulan Syawal yang mulia.

PAS Labuan menggesa agar pihak berwajib membatalkan serta merta program yang bakal berlangsung ini bagi mengelakkan sebarang isu sensitif diketengahkan termasuklah sebarang unsur mempromosi LGBTQ sama ada melalui percakapan, perbuatan mahupun pemakaian.

Ini juga sebagai peringatan tegas kepada mana-mana penganjur yang mencadangkan sebarang aktiviti yang tidak prihatin kepada majoriti penduduk Islam Labuan. Walau bagaimanapun PAS amat menyambut baik sebarang acara dan aktiviti yang bermanfaat dan boleh meningkatkan ekonomi tempatan namun masih terikat dengan batasan agama dan adab.

PAS Labuan mengharapkan agar umat Islam khususnya di Labuan untuk lebih cakna terhadap sebarang fahaman dan aktiviti songsang. Menjadi tanggungjawab kita bersama dalam menjaga dan melindungi masyarakat Islam daripada sebarang aktiviti yang tidak bermanfaat yang boleh merosakkan akhlak. PAS berharap agar perkara ini dapat ditangani dengan lebih efektif dan Malaysia amnya kekal sebagai negara yang bebas fahaman songsang LGBT.

Konklusinya, PAS Labuan meminta kepada semua jabatan kerajaan mahupun pihak bukan kerajaan supaya meminta pandangan dan nasihat daripada Pejabat Mufti Labuan terlebih dahulu, sebelum menganjurkan sebarang program atas dasar menghormati majoriti rakyat Labuan yang beragama Islam dan demi menjamin keharmonian, kelestarian moral serta nilai-nilai murni masyarakat Labuan. – HARAKAHDAILY 12/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -