Kebenaran vs pembohongan dalam Kerajaan Firaun

- Advertisement -

DI DALAM Surah Ghafir, Allah S.W.T merakamkan kisah ahli keluarga Firaun yang memprotes tindakan yang dibuat oleh Firaun.

Apabila kita mengamati isi-isi protesnya kita akan dapati bahawa sekalipun beliau ahli keluarga Firaun, tetapi tidak terbodoh dengan pembodohan Firaun.

Protes atas dasar kebenaran

Antara isi protesnya menggambarkan beliau menggunakan akal fikirannya dengan betul. Lontarannya selari dengan rasional. 

Pertama

- Advertisement -

أَتَقْتُلُونَ رَجُلًا أَن يَقُولَ رَبِّيَ اللَّهُ وَقَدْ جَاءَكُم بِالْبَيِّنَاتِ مِن رَّبِّكُمْ ۖ وَإِن يَكُ كَاذِبًا فَعَلَيْهِ كَذِبُهُ ۖ وَإِن يَكُ صَادِقًا يُصِبْكُم بَعْضُ الَّذِي يَعِدُكُمْ

“Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana ia menegaskan: `Tuhanku ialah Allah? ‘ – sedang ia telah datang kepada kamu membawa keterangan-keterangan dari Tuhan kamu? Kalau ia seorang yang berdusta maka dialah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan kalau ia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian dari (azab) yang dijanjikannya kepada kamu.”

Kedua

Antara lain, FirmanNya;

يَا قَوْمِ لَكُمُ الْمُلْكُ الْيَوْمَ ظَاهِرِينَ فِي الْأَرْضِ فَمَن يَنصُرُنَا مِن بَأْسِ اللَّهِ إِن جَاءَنَا

“Wahai kaumku! Pada hari ini kepunyaan kamulah kuasa memerintah dengan bermaharajalela di muka bumi (Mesir dan sekitarnya; tetapi kiranya keadaan bertukar) maka siapakah yang akan membela kita dari azab Allah kalau azab itu datang menimpa kita?”

Kenyataan lelaki ini dijawab oleh Firaun sepertimana FirmanNya;

قَالَ فِرْعَوْنُ مَا أُرِيكُمْ إِلَّا مَا أَرَىٰ وَمَا أَهْدِيكُمْ إِلَّا سَبِيلَ الرَّشَادِ

“Firaun berkata: “Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan), dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar”.”

Pembohongan Firaun 

Imam Ibn Kathir menghuraikan ayat ini dengan mengatakan bahawa demi menjaga pengaruh, Firaun bersikap bohong.

Pembohongan pertama

Bohong apabila dia sudah pun menyedari bahawa seruan Nabi Musa A.S itu adalah benar. Ia berdasarkan ayat 102, Surah al Isra’:

قَالَ لَقَدْ عَلِمْتَ مَا أَنزَلَ هَٰؤُلَاءِ إِلَّا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ بَصَائِرَ وَإِنِّي لَأَظُنُّكَ يَا فِرْعَوْنُ مَثْبُورًا

“Nabi Musa menjawab: “Sebenarnya engkau (hai Firaun) telah pun mengetahui: tiadalah yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran; dan sebenarnya aku fikir, engkau hai Firaun, akan binasa”.”

Pembohongan kedua

Bohong apabila dia mendakwa dia hanya sekadar mengutara pandangan atas dasar kebenaran (rujuk ayat di atas). Hakikatnya dia sendiri sedar dia sedang berbohong. Ia berdasarkan Surah Hud ayat 97:

إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِ فَاتَّبَعُوا أَمْرَ فِرْعَوْنَ ۖ وَمَا أَمْرُ فِرْعَوْنَ بِرَشِيدٍ 

“Kepada Firaun dan kaumnya; lalu kaum Firaun menurut perintah Firaun, sedang perintahnya itu bukanlah perintah yang betul.”

Imam Ibnu Kathir menutup huraian ayat 29 Surah Ghafir dengan kecaman Nabi S.A.W terhadap pemerintah yang menipu. 

Pemerintah yang bergimik dan berbohong

Nabi S.A.W bersabda;

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً ، يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ ، إِلاَّ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

“Tiada di kalangan hamba yang diberikan kepimpinan untuk memimpin rakyatnya dan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya di bawah pimpinannya, melainkan Allah mengharamkan ke atasnya syurga.” 

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Di dalam Surah Ghafir ayat 36 dan 37, menceritakan bahawa Firaun mengarahkan kepada Haman untuk membina menara yang tinggi. 

Kononnya bertujuan untuk membuktikan dakwah Nabi Musa itu tak betul. Sama ada menara itu terbina atau tidak, tindakan mengarahkan Haman itu cumalah sekadar gimik.

Ini kerana, Firaun sendiri telah menyedari bahawa seruan Nabi Musa A.S itu adalah benar. Hal ini telah dihuraikan tadi.

Allah S.W.T berfirman;

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا هَامَانُ ابْنِ لِي صَرْحًا لَّعَلِّي أَبْلُغُ الْأَسْبَابَ 

“Dan Firaun pula berkata: “Hai Haman! Binalah untukku sebuah bangunan yang tinggi, semoga aku sampai ke jalan-jalan (yang aku hendak menujunya).”

أَسْبَابَ السَّمَاوَاتِ فَأَطَّلِعَ إِلَىٰ إِلَٰهِ مُوسَىٰ وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ كَاذِبًا ۚ وَكَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِفِرْعَوْنَ سُوءُ عَمَلِهِ وَصُدَّ عَنِ السَّبِيلِ ۚ وَمَا كَيْدُ فِرْعَوْنَ إِلَّا فِي تَبَابٍ

“(Iaitu) ke pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa; dan sesungguhnya aku percaya Musa itu seorang pendusta!” Demikianlah diperhiaskan (oleh syaitan) kepada Firaun akan perbuatannya yang buruk itu untuk dipandang baik, serta ia dihalangi dari jalan yang benar; dan tipu daya Firaun itu tidak membawanya melainkan ke dalam kerugian dan kebinasaan.”

Imam Ibn Kathir menghuraikan;

الذي أراد أن يوهم به الرعية أنه يعمل شيئا يتوصل به إلى تكذيب موسى – عليه السلام –

“Tindakan tersebut dibuat untuk meletakkan pra sangka kepada rakyat bahawa dia melakukan sesuatu yang membawa kepada pendustaan terhadap Nabi Musa A.S.”

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS
Negeri Perak – HARAKAHDAILY 12/4/2023

- Advertisement -