Nikotin: Pertaruhkan nyawa rakyat demi kutip cukai tinggi

Dr Wan Martina
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mengeluarkan nikotin dari Akta racun 1952 demi untuk mengutip cukai yang tinggi disifatkan sebagai suatu tindakan yang melampau kerana tidak mengambil kira faktor kesihatan rakyat di Malaysia.

Senator Dewan Negara, Dr. Wan Martina Wan Yusoff berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. Murallitharan Munisamy dalam satu program wawancara yang dilaksanakan oleh Astro Awani pada 6 April lalu, yang berpendapat bahawa industri vape sudah berkembang di negara ini dan sebahagian rakyat Malaysia pada masa kini banyak bergantung kepada industri vape untuk mencari rezeki.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau turut memberitahu bahawa tindakan itu menunjukkan seolah-olah Malaysia berjalan ke belakang, yang mana jika diperhatikan pada masa kini banyak negara di dunia yang lebih berhati-hati dengan akta penggunaan vape dan ada negara yang telah pun mengharamkan vape. 

“Contoh terdekat adalah Thailand yang telah mengharamkan penggunaan vape dan Singapura yang melarang penjualan  vape. 

“Sementara  di Vietnam pula hanya membenarkan vape tanpa Nikotin,” jelas Dr Martina kepada HarakahDaily.

Beliau turut menyatakan amat kesal dan tidak bersetuju dengan langkah pihak kerajaan Malaysia mengeluarkan nikotin dari Akta racun 1952 demi untuk mengutip cukai yang tinggi tanpa menghiraukan kesihatan rakyat di negara ini.  

Tambahnya, tiada jumlah cukai yang dikutip akan lebih bernilai daripada kesihatan rakyat Malaysia, kesihatan anak-anak kita, dan sistem kesihatan negara. 

Justeru, katanya lagi bahawa umum mengetahui nikotin adalah bahan yang boleh menyebabkan ketagihan dan boleh memudaratkan kesihatan dan antara penyebab berlakunya kanser dan pelbagai penyakit kronik yang berbahaya terhadap rakyat di negara ini.  

“Tanpa penguatkuasaan Undang-undang Peraturan & Kawalan Tembakau (nikotin) hampir mustahil untuk mengawal rakyat terutama anak-anak muda dan para pelajar sekolah dari menggunakan vape yang sangat mudah didapati di pasaran pada masa kini. 

“Adalah diharapkan agar akta pengawalan penggunaan vape perlu digubal dan dibawa ke Parlimen supaya kawalan dan penguatkuasaan boleh dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

- Advertisement -