Guru PASTI Tawau santuni penghuni RAY Ar-Raudhoh

Barisan guru PASTI Tawau yang menyantuni penghuni Rumah Anak Yatim (RAY) Ar-Raudhoh, di Tawau, Sabah baru-baru ini.
- Advertisement -

TAWAU: Guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Tawau mengambil inisiatif menyantuni penghuni Rumah Anak Yatim (RAY) Ar-Raudhoh.

Pengarah program berkenaan, Samsiah Sanuddin berkata, inisiatif itu adalah aktiviti tahunan yang diadakan setiap kali menjelang bulan Ramadan di rumah anak yatim, di sini.

- Advertisement -

“Kali ini kami memilih untuk berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan kepada penghuni RAY Ar-Raudhoh.

“Program berbuka puasa bersama golongan asnaf yang diadakan setiap tahun ini bertujuan memberi peluang kepada guru-guru untuk berkongsi rezeki,” ujarnya.

Beliau yang juga guru PASTI Nurul Najah II berkata demikian ketika hadir dalam majlis berbuka puasa di RAY Ar-Raudhoh, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, guru PASTI tidak hanya sekadar mendidik modal insan di sekolah sahaja, tetapi perlu terlibat dengan kerja-kerja sosial khususnya membantu golongan memerlukan.

“Selain bantuan kewangan daripada pejabat PASTI, guru-guru turut mengambil inisiatif sendiri mengumpul dana untuk kerja-kerja kebajikan yang dilaksanakan.

“Setiap kali program amal diadakan, kami akan mengadakan kutipan dana bagi memberi peluang kepada semua guru menyumbang,” kongsi beliau.

Samsiah berkata, program berbuka puasa juga turut diadakan di setiap sekolah masing-masing bersama ibu bapa dan penjaga murid.

“Penglibatan semua ibu bapa dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan di peringkat sekolah sangat diperlukan terutamanya program-program amal.

“Melalui penglibatan itu, mereka boleh saling bersilaturrahim dan bersuai kenal kerana kita tidak mahu ibu bapa hanya sekadar menghantar anak-anak ke sekolah sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/4/2023

- Advertisement -