
MOSCOW: Blogger tentera terkenal Rusia, Vladlen Tatarsky terbunuh dalam satu kejadian letupan bom di sebuah kafe di St. Petersburg, di sini dalam apa yang kelihatan sebagai pembunuhan kedua di bumi Rusia membabitkan seorang tokoh yang berkait rapat dengan perang di Ukraine.
Jawatankuasa Siasatan negara Rusia berkata 25 orang lain cedera dalam letupan itu, dan ia telah membuka siasatan pembunuhan pada Ahad (2 April), waktu tempatan, lapor TRT World.
Tatarsky atau nama sebenarnya, Maxim Fomin mempunyai lebih daripada 560,000 pengikut di Telegram dan merupakan salah seorang penulis blog tentera yang paling berpengaruh yang telah memperjuangkan usaha perang Rusia di Ukraine, sambil sering mengkritik kegagalan pegawai tertinggi tentera negara itu.
“Kami akan mengalahkan semua orang, kami akan membunuh semua orang, kami akan merompak semua orang yang kami perlukan. Segala-galanya akan menjadi seperti yang kami suka,” kata Tatarsky dalam paparan klip video pada September tahun lalu dalam majlis Kremlin, yang mana Presiden Vladimir Putin mendakwa empat wilayah yang diduduki Ukraine sebagai wilayah Rusia.
Setakat ini, tiada petunjuk siapakah dalang di sebalik letupan itu, namun agensi berita TASS memetik sumber yang tidak dinamakan sebagai berkata, alat letupan buatan (IED) telah disembunyikan dalam patung kecil yang diserahkan kepada Tatarsky ketika dia berucap di hadapan kepada sekumpulan orang di kafe tersebut.

Mash, saluran Telegram dengan pautan kepada penguatkuasaan undang-undang Rusia, menyiarkan video yang kelihatan menunjukkan Tatarsky yang ketika itu memegang mikrofon di tangannya telah diberikan patung askar bertopi keledar, sebelum ia meletup beberapa minit kemudian.
Beberapa blogger pro-Rusia bertindak balas dengan reaksi terkejut dengan berita pembunuhan Tatarsky itu.
“Dia berada di tempat paling ‘panas’ dalam operasi ketenteraan khas dan dia sentiasa keluar hidup-hidup. Tetapi ‘perang’ menemuinya di kafe Petersburg,” kata Semyon Pegov, yang menulis blog di bawah nama War Gonzo.

Alexander Khodakovsky, seorang tokoh pro-Moscow terkemuka di timur Ukraine pula, menulis dalam Twitternya: “Anda berbahaya kepada mereka, anda melakukan perniagaan anda seperti yang tidak dapat dilakukan oleh orang lain. Kami akan sentiasa berdoa untuk anda, saudaraku.”
Kematian Tatarsky adalah yang kedua akibat letupan bom di Rusia susulan pembunuhan pada Ogos tahu lalu melibatkan Darya Dugina, anak perempuan Aleksandr Dugin, seorang intelektual nasionalis Rusia, dalam kejadian bom kereta berhampiran Moscow.
Sementara, perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia menuduh perkhidmatan rahsia Ukraine melakukan serangan itu, yang dilabelkan Putin sebagai ‘jahat’, namun kerajaan Ukraine menafikan penglibatannya. – HARAKAHDAILY 3/4/2023