Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022 dilanjutkan

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah membuat keputusan untuk melanjutkan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022 bagi majikan yang menggajikan kurang lima orang pekerja daripada 1 Januari 2023 kepada 1 Julai 2023 di seluruh negara.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM) keputusan penangguhan itu dibuat adalah kerana Kerajaan prihatin kepada usahawan perniagaan mikro yang masih belum pulih sepenuhnya ekoran perniagaan yg terjejas semasa pandemik Covid-19.

Selain itu, ujar KSM kerajaan juga mengambil kira memorandum daripada pelbagai pihak yang terlibat yang menyatakan bahawa mereka terpaksa menanggung kos tambahan akibat daripada pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022.

“Pelanjutan tambahan selama enam bulan ini, diharap dapat memberikan peluang untuk majikan perniagaan mikro menyelaras dan mengimbangi keperluan kewangan, yang sedikit sebanyak akan membantu memulihkan kedudukan ekonomi syarikat,” ujar KSM dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman [PN-Kuala Krai] di Dewan Rakyat.

Dalam soalannya, Abdul Latiff meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan perancangan dan jaminan kerajaan agar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memiliki tidak melebihi 5 orang pekerja bersedia untuk melaksana dasar gaji minima RM1,500 pada 1 Julai 2023 nanti dan tindakan kepada syarikat-syarikat yang tidak mampu melaksanakannya.

Menurut KSM, berdasarkan indikator ekonomi yang semakin pulih seperti peningkatan Keluaran   Dalam Negeri Kasar yang terus merekodkan pertumbuhan yang lebih pesat sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022 berbanding 8.9 peratus pada suku kedua dan 5 peratus pada suku pertama.

Tambahnya, mulai 1 Julai 2023 mana-mana majikan tanpa mengambil kira bilangan pekerja mesti mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022.

KSM berkata, majikan boleh didenda maksimum sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja apabila disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -