Pemuliharaan sungai untuk kurangkan risiko banjir

Ustaz Hassan Saad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi perhatian secara khusus sebagai langkah mitigasi jangka pendek dan sederhana untuk mengurangkan risiko banjir di bawah Projek Pemuliharaan Sungai Untuk Mengurangkan Risiko Banjir di Negeri Kedah.

- Advertisement -

Menurut kementerian itu, JPS telah melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir di Negeri Kedah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada tahun 2022 dengan kos berjumlah RM12 juta melibatkan 103 projek kerja-kerja kecil dan skop yang terlibat adalah kerja-kerja pengaluran sungai, kerja-kerja menstabilkan tebing sungai dan menaiktaraf saluran dan struktur berkaitan bagi meningkatkan kualiti air sungai

“Bagi langkah mitigasi jangka panjang, JPS sedang melaksanakan projek pembangunan Empangan Sabo bagi mengatasi masalah banjir di daerah Yan dan Kuala Muda dengan kos berjumlah RM22.8 juta dan dijangka siap pada Jun 2023,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Ustaz Hassan Saad [PN-Baling] di Dewan Rakyat.

Ustaz Hassan meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan perkembangan terkini projek rancangan tebatan banjir (RTB) di negeri Kedah terutamanya melibatkan pembangunan Empangan Sabo dan Perkampungan Iboi bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku.

Kata kementerian lagi, di perkampungan Iboi, projek pembinaan infrastruktur Sabo di Lembangan Sungai Kupang di peringkat penyediaan spesifikasi dan jangkaan tender pada Mei 2023 dengan kos berjumlah RM26.32 juta. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -