Menteri Pendidikan, timbalan patut letak jawatan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary, mendesak Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan timbalannya, Lim Hui Ying, meletakkan jawatan masing-masing berikutan kegagalan menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan, Hui Ying gagal menjawab soalan nombor 16 yang dikemukakan oleh Ahmad Marzuk.

Advertisement

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, keadaan itu tidak pernah berlaku sepanjang pengalamannya sebagai Ahli Parlimen, malah kegagalan Hui Ying menjawab soalan ditegur Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor.

“Soalan ini dijemput oleh Speaker untuk menteri jawab. Menteri tidak ada di dalam dewan (Dewan Rakyat) tetapi timbalan menteri ada di dalam dewan.

“Sayangnya, timbalan menteri kata, dia tidak menyediakan jawapan, dia tidak bersedia dan dia minta maaf kerana tidak ada jawapan.

“Ini suatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Walaupun, saya bangun lagi bertanya, adakah kalau soalan asal tiada jawapan, soalan tambahan boleh tak? Sebab seorang timbalan menteri kena datang dengan persediaan, kalau datang sekadar untuk memenuhi kerusi di sebelah sana, itu bukan tanggungjawab seorang menteri.

“Kalau soalan asal dia tidak boleh jawab, sepatutnya dia boleh jawab soalan tambahan, sebab soalan tambahan memang spontan dan tidak ada jawapan yang disediakan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, kegagalan menjawab soalan juga merupakan suatu pembaziran kepada wang kerajaan yang menggaji timbalan menteri, tetapi tidak melaksanakan tugasnya.

“Jadi saya rasa ini suatu pembaziran wang kerajaan menggaji seorang timbalan menteri yang tidak melaksanakan tugas dia, benda yang paling mudah iaitu menjawab soalan.

“Jadi saya hari ini mengusulkan supaya menteri dan timbalan menteri berkenaan supaya berundur dan meletakkan jawatan. – HARAKAHDAILY 27/3/2023