KUALA LUMPUR: Negara memerlukan aset ketenteraan canggih bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mampu menangani sebarang bentuk pencerobohan dengan berkesan.
Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berkata, ini termasuk perancangan Kementerian Pertahanan untuk meningkatkan kekuatan pertahanan udara dengan memperolehi aset jet pejuang bagi tujuan rondaan dan mencegah pencerobohan wilayah negara.
Katanya, banyak negara telah lama menggunakan pesawat AEW&C (Airborne Early Warning and Control) yang mempunyai sistem radar canggih bagi mengesan pergerakan aset musuh dalam lingkungan 400 kilometer serta bertindak sebagai pusat arahan kepada pertempuran udara.
“Apakah kementerian merancang untuk melengkapkan bilangan jet pejuang Hornet F/A-18D sebanyak lapan buah pada waktu ini kepada 16 buah untuk melengkapkan satu skuadron jet pejuang,” katanya semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.
Shaharizukirnain berkata, pengukuhan ATM mesti dilakukan secara ‘spektrum penuh’ bagi mendapatkan kesan perlindungan yang berkesan bagi menghadapi kemunculan ancaman bentuk baharu.
“Ini kerana pihak terlibat kerap melakukan tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa dan Malaysia seperti melakukan aktiviti keganasan, rentas sempadan, penyeludupan dan pemerdagangan manusia yang boleh menggugat ketenteraman awam.
“Oleh demikian, apakah kesiapsiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada waktu ini sudah mencukupi bagi menangani ancaman negara luar. Sebagai contoh, isu kapal tentera laut negara China yang sentiasa menceroboh perairan negara kita,” katanya.
Selain itu, katanya apakah kementerian merancang untuk menambah bilangan kapal selam yang hanya terdapat dua buah pada waktu ini bagi menjaga kedaulatan negara yang sangat luas. – HARAKAHDAILY 27/3/2023