Larangan kunjung ke rumah ibadat bukan-Islam

PAS Selangor junjung kasih titah peringatan DYMM Sultan

- Advertisement -

PAS Selangor menjunjung kasih atas titah DYMM Sultan Selangor yang disiarkan dalam akhbar The Star hari ini yang menegaskan kembali pernyataan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkenaan larangan ke atas umat Islam untuk melawat rumah-rumah ibadat bukan-Islam seperti kuil, gereja dan gurdwara bagi maksud mempelajari kepercayaan lain.

Dengan penuh tanggungjawab dan prihatin Tuanku Sultan mengingatkan rakyat negeri ini bahawa demi mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah-faham tambahan telah sedia ada undang-undang yang melarang penyebaran agama dan kepercayaan lain di kalangan umat Islam, maka keputusan larangan MAIS ini sangatlah tepat dan wajar.

Justeru atas kebijaksanaan titah Tuanku itu PAS Selangor mengambil kesempatan ini menyeru semua umat Islam Selangor agar akur dan taat pada larangan ini.

Keharmonian antara agama dan kehidupan rukun damai di kalangan rakyat Selangor yang berbilang kaum sangat penting demi kestabilan dan kemakmuran negeri ini.

PAS akan sentiasa menekankan aspek ini dan dalam waktu yang sama memastikan agar larangan pihak MAIS ini dipatuhi semua pihak.  

Oleh itu sikap toleran dan saling hormat-menghormati sangat penting dan PAS Selangor akan pastikan tiada mana-mana pihak mengganggu ketenteraman sedia ada.  

Mulia Darjat Terserlah Nyata, 
Syukur Ilahi Perkenankan Doa, 
Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada,
Makmur Negeri Aman Sejahtera. 

DATO’ DR. AHMAD YUNUS HAIRI 
Pesuruhjaya 
Badan Perhubungan 
PAS Negeri Selangor 
Ahad 
26 Mac 2023 / 4 Ramadan 1444 – HARAKAHDAILY 26/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -