Malaysiakini promosi ICERD dan ‘Malaysian Malaysia’

- Advertisement -

MEDIA Malaysiakini melaporkan berita yang mempunyai maksud tertentu – bukan tanpa maksud – yang wajib diberikan perhatian oleh umat Islam, khususnya bangsa Melayu, kaum Bumiputera, dan kaum lain yang tidak ekstrem. Dua berita penting tersebut ialah:

- Advertisement -
  1. Keengganan Kerajaan Malaysia untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) adalah mengecewakan, kata pelapor khas Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ashwini KP.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/659522

  • ULASAN | Nasihat terakhir kepada Mahathir oleh Lim Kit Siang mempromosikan Malaysian Malaysia ala DAP dan merendah-rendahkan kegagalan Wawasan 2020.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/659510

Negara Malaysia yang berperlembagaan meletakkan Islam agama negara, di samping memberikan kebebasan beragama kepada penganut berbagai-bagai agama. Malaysia juga menerima konsep jus soli, menerima kewarganegaraan, dan menjadikannya negara masyarakat majmuk yang sebegini rupa.

PAS menerima konsep demokrasi dengan mempertahankan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengikut tafsiran bahasa al-Quran, bukan bahasa yang lain, termasuk perkataan ‘agama’ dalam bahasa kebangsaan yang juga tidak tepat maknanya.

Saya terus mempertahankan konsep Islam terhadap masyarakat majmuk tanpa menghapuskan aspek bangsa dalam kejadian manusia dan kebebasan beragama, dengan penegasan Islam satu-satunya agama yang sebenar dan tidak ada paksaan dalam perkara agama. Hal ini berbeza dengan konsep liberalisme yang menyamakan agama termasuk Islam, atau tidak ada agama, serta menghapuskan fitrah kewujudan bangsa dan kecintaan kepadanya.

PBB menemui kegagalan demi kegagalan tanpa kemampuan melaksanakan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Perjuangannya yang lemah laksana sarang labah-labah tanpa kemampuan membela bangsa yang lemah dan tanpa kemampuan menentang kezaliman terhadap bangsa yang tertindas, termasuk terhadap kaum Red Indian di Amerika yang kononnya paling demokratik, bangsa Arab di Palestin, dan pelarian perang di Eropah.

Islam menolak perjuangan yang gagal dan mempertahankan penyelesaiannya yang tersendiri dalam perkara masyarakat majmuk dan hak asasi manusia. Penganut Islam berpegang dengan al-Quran Kalam Allah yang memberikan petunjuk, bukannya cakap kosong seperti Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat PBB.

Firman Allah SWT:

﴿وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ ٢٢﴾

“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasa kalian dan warna kulit kalian. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” (Surah al-Rum: 22)

Firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣﴾

“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨﴾

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kalian menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kalian) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kalian menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)

Firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Islam mengikat konsepnya dengan prinsip aqidah keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat serta sifat taqwa, yang tidak terdapat dalam Piagam PBB dan perisytiharan antarabangsa ciptaannya. Aqidah dan sifat inilah yang menjadikan bangsa Melayu yang beragama Islam tidak membakar jus soli dan perlembagaan sekular. Sekalipun tidak bersetuju, dengan penuh kesabaran menerima masyarakat majmuk dan menganggapnya satu keluarga Malaysia yang penuh bertoleransi.

Orang Melayu Islam yang fanatik Melayunya seperti Tun Mahathir Mohamad tidak sama dengan bukan Melayu dan bukan Islam seperti Lim Kit Siang yang katanya tidak fanatik kaum dan bangsa, tetapi hakikatnya tidak boleh menghapuskan fitrahnya yang tetap sayang akan bangsa dan keluarga tanpa kawalan aqidah.

Kita tidak terlepas pandang betapa bukan Melayu dan bukan Islam yang menguasai ekonomi menjadi penyumbang rasuah yang terbesar jumlah dan harganya. Sehinggakan, semua peringkat daripada rakyat Melayu Islam, sama ada pemimpin, raja, rakyat, mahupun parti kerajaan menjadi mangsa wabaknya.

Keadaan ini sehingga menjadikan diri lebih parah daripada kacang lupakan kulit, dengan meletakkan kepentingan pangkat dan harta lebih daripada agama, bangsa, dan negara bersama Islam.

Banyak lagi dalil kaum Melayu dan Bumiputera dihimpit sehingga kehilangan tanah dan kawasan, selain ketinggalan dalam pendidikan dan pelajaran akibat penyusunan masyarakat warisan penjajah terhadap umat Islam.

Walaupun saya berlainan kolam dengan Tun Mahathir, tetapi sama airnya dan hanya berbeza suhu kepanasan. Tidak sama dengan kolam yang direnangi oleh Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, pemimpin UMNO yang bersamanya, dan mereka yang dinamakan cendekiawan Melayu yang berendam bersama juga.

Maka, umat Islam yang peka dan bukan Islam yang tidak ekstrem wajib bersatu menentang agenda makhluk asing yang dipromosikan oleh media Malaysiakini. Mereka bersifat gula-gula beracun yang merosakkan masyarakat majmuk dan perlu diletakkan ke landasan yang betul. Jangan biarkan kita terpesong ke landasan yang sesat dan telah memakan mangsa di negara yang lain.

PAS ketika menjadi pembangkang yang tegar, tidak lupa akan peranan Tun Mahathir yang menyelamatkan negara ketika krisis ekonomi daripada diheret oleh Menteri Kewangan – yang dinobatkan paling hebat di Asia – masuk ke dalam mulut buaya Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan beberapa peristiwa yang lain.

Tutupkanlah suara sumbang dan songsang seperti Malaysiakini yang menjadi khadam makhluk asing yang sangat halus. Selamatkanlah negara dengan petunjuk Allah SWT yang berfirman:

﴿وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦ أَفَأَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا بَيَٰتٗا وَهُمۡ نَآئِمُونَ ٩٧ أَوَ أَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا بَأۡسُنَا ضُحٗى وَهُمۡ يَلۡعَبُونَ ٩٨ أَفَأَمِنُواْ مَكۡرَ ٱللَّهِۚ فَلَا يَأۡمَنُ مَكۡرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ ٩٩﴾

“Sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan apa yang mereka lakukan. (96) Maka, apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada malam hari pada waktu mereka sedang tidur? (97) Atau apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada waktu matahari sepenggalah naik ketika mereka sedang bermain? (98) Maka, apakah mereka merasa aman daripada azab Allah (yang tidak terduga-duga)? Tiada yang merasa aman daripada azab Allah kecuali orang-orang yang merugi. (99)” (Surah al-A‘raf: 96–99)

Jangan dipaksa untuk diulangi lagi peristiwa 13 Mei 1969 dan himpunan jutaan umat menentang ICERD. Hanya ubah fikiran yang sesat agar kembali kepada landasan yang betul dengan istiqamah dan aman.

Laksanakanlah petunjuk Allah SWT berikut:

﴿عَسَى ٱللَّهُ أَن يَجۡعَلَ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَ ٱلَّذِينَ عَادَيۡتُم مِّنۡهُم مَّوَدَّةٗۚ وَٱللَّهُ قَدِيرٞۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٧ لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ ٩﴾

“Mudah-mudahan, Allah menimbulkan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi antara mereka. Dan Allah adalah Maha Kuasa. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. (7) Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangi kamu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawan kamu orang-orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan sesiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” (Surah al-Mumtahanah: 7–9)

Janganlah terperangkap dengan kata-kata manis mereka tanpa hidayah, kerana Allah mendedahkan ketidakikhlasan dalam hati mereka. Firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ بِطَانَةٗ مِّن دُونِكُمۡ لَا يَأۡلُونَكُمۡ خَبَالٗا وَدُّواْ مَا عَنِتُّمۡ قَدۡ بَدَتِ ٱلۡبَغۡضَآءُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَمَا تُخۡفِي صُدُورُهُمۡ أَكۡبَرُۚ قَدۡ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡقِلُونَ ١١٨ هَٰٓأَنتُمۡ أُوْلَآءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا يُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ عَضُّواْ عَلَيۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَيۡظِۚ قُلۡ مُوتُواْ بِغَيۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ ١١٩ إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةٞ تَسُؤۡهُمۡ وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَيِّئَةٞ يَفۡرَحُواْ بِهَاۖ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لَا يَضُرُّكُمۡ كَيۡدُهُمۡ شَيْـًٔاۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ ١٢٠﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaan kamu orang-orang yang di luar kalangan kamu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudaratan bagi kamu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian daripada mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh, telah Kami terangkan kepada kamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya. (118) Beginilah kamu, kamu menyukai mereka, padahal mereka tidak menyukai kamu, dan kamu beriman kepada kitab-kitab semuanya. Apabila mereka menjumpai kamu, mereka berkata, ‘Kami beriman,’ dan apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari lantaran marah bercampur benci terhadap kamu. Katakanlah (kepada mereka): ‘Matilah kamu kerana kemarahan kamu itu!’ Sesungguhnya, Allah mengetahui segala isi hati. (119) Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepada kamu. Sesungguhnya, Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan. (120)” (Surah Ali ‘Imran: 118–120)

Tolaklah kumpulan ekstrem, liberal, komunis, oportunis, Muslim yang hanyut pegangan agamanya tanpa istiqamah, bangsa yang tidak berfitrah, dan lain-lain yang berada di luar tabii manusia ciptaan Allah SWT.

Selamatkanlah negara bersama konsep wasatiyyah bagi menangani masyarakat majmuk yang aman dan sejahtera, bersama politik matang dan sejahtera serta membawa konsep Islam adil walaupun majmuk pelbagai agama, bangsa, dan taraf hidup. Konsep umum kepada semua dalam satu keluarga besar ini telah dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا ١﴾

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri (Adam AS), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawwa’ AS); dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya, kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasi kalian.” (Surah al-Nisa’: 1)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 1 Ramadan 1444 / 23 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -