PAS Selangor buat laporan polis terhadap Harakatdaily

Muhamad Sufi selepas hadir membuat laporan polis terhadap Harakatdaily di Ibu Pejabat Polis (IPD), Gombak, Kuala Lumpur pada hari ini, 23 Mac 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

SELANGOR: Satu laporan polis telah dibuat terhadap laman sesawang, Harakatdaily atas dakwaan membuat posting kenyataan yang berbau fitnah terhadap Pesuruhjaya PAS negeri Selangor, Dr Ahmad Yunus yang kononnya telah menggesa orang bukan Islam supaya tidak datang ke bazar Ramadan.

Ketua Penerangan PAS Selangor kawasan Gombak, Muhamad Sufi Kamari berkata, kenyataan yang disiarkan Harakatdaily pada Rabu (22 Mac) itu adalah satu fitnah.

- Advertisement -

Beliau turut menyatakan amat mustahil untuk Pesuruhjaya PAS Selangor memberikan kenyataan yang tidak mendatangkan keharmonian antara masyarakat Islam dengan orang bukan Islam.

“Malah, Dr. Yunus sendiri juga telah menegaskan bahawa beliau tidak pernah membuat kenyataan tersebut dan berkata jelas ia adalah fitnah,” tegas beliau ketika ditemui HarakahDaily di Ibu Pejabat Polis (IPD), Gombak, di sini, hari ini.

Laporan polis tersebut telah dibuat oleh beliau pada jam 12.20 tengah hari dan akan diikuti oleh Pemuda PAS Selayang yang turut menyusul kemudian bagi membuat laporan yang sama.

Beliau juga memberitahu  bahawa laman sesawang Harakatdaily didapati mempunyai kandungan, diikuti logo dan cara penulisannya yang hampir sama dengan Harakahdaily sehingga menyebabkan orang ramai keliru antara kedua-dua akhbar online tersebut.

“Perkara sebegini jika dibiarkan boleh menyebarkan fitnah dan mencetuskan pergaduhan antara orang Islam dengan bukan Islam,” ujarnya.

Tambahnya. pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap portal Harakatdaily supaya akaunnya  dipadamkan daripada segala laman sosial serta merta.

“Pihak PAS tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima sebarang perbezaan pendapat tetapi wajib berlandaskan fakta dan bukannya fitnah,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -