Kos keseluruhan projek KB Sentral RM172 juta

Dato' Hanifa Ahmad
- Advertisement -

KOTA BHARU: Projek pembangunan KB Sentral yang melibatkan pembinaan terminal bas ekspres dan hotel membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM172 juta.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Dato’ Hanifa Ahmad berkata, KB Sentral meliputi terminal bas ekspress, terminal bas henti-henti, stesen e-hailing, teksi dan parkir awam.

Katanya, pembangunan terminal tersebut melibatkan kos RM64 juta dijangka dapat dimulakan pada Oktober hadapan selepas proses berkaitan tanah selesai.

“Projek KB Sentral dijangka siap pada tahun 2026, setahun lebih awal berbanding projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap pada 2027.

“Pemilihan syarikat terbabit Syarikat Widad setelah dinilai Jawatankuasa Teknikal mengenai kemampuan kewangan, pengalaman dan rekod projek dilaksanakan syarikat terbabit,” katanya pada sidang Dun hari ini.

Pada 12 Mac lepas kerajaan negeri menyerah Surat Lantik Pemaju Projek Pembangunan KB Sentral. Projek terbabit akan dilaksanakan melalui syarikat bertujuan khas (SPV) iaitu Innovative City Holdings Sdn Bhd.

Hanifa juga berkata, kerajaan negeri menerima tawaran daripada lima syarikat yang berminat membangunkan projek terbabit.

Bagaimanapun kata beliau Jawatankuasa Teknikal memilih syarikat Widad kerana kemampuan kewangan dan pengalaman bagi memastikan projek tersebut menjadi kenyataan.

Menjawab soalan tambahan Dato’ Hassan Mohamood (PAS-Tawang) kata beliau KB Sental turut menyediakan surau bagi memudahkan orang ramai menunaikan solat.

“Masjid tidak dibenarkan di kawasan berkenaan memandangkan kedudukannya tidak jauh dari masjid mukim di Tunjung,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -