Sejauh mana kajian wujudkan bandar span

Che Alias Hamid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Sejauh mana kajian dan penyelidikan bagi mewujudkan bandar span (sponge city) akibat dari banjir atau banjir termenung terutama di kawasan bandar,” tanya Che Alias Hamid (PN-Kemaman).

- Advertisement -

Menurutnya, bandar span ialah kawasan bandar dengan kawasan semulajadi yang banyak seperti pokok, tasik  dan pelbagai rekaan bentuk yang lain bagi tujuan untuk menyerap hujan dan banjir.

“Sejauh manakah kajian dan penyelidikan yang telah dilakukan bagi mewujudkan bandar Span akibat daripada banjir kilat atau banjir termenung terutama di kawasan bandar bandar di ekoran daripada perubahan iklim yang berlaku pada hari ini,” katanya semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan rakyat, hari ini.

Beliau juga meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai status terkini perkembangan projek tebatan banjir termasuk di Pantai Timur khususnya di Terengganu.

“Butiran projek tebatan banjir di lembangan sungai di Terengganu saya akan butirkan secara bertulis, tetapi insya-Allah secara umum kita akan memulakan projek ini pada bulan Jun dan dalam senarai segera itu dengan secepat mungkin,” ujarnya.

Nik Nazmi berkata, mengikut perancangan, program ramalan banjir ini akan dijalankan secara menyeluruh untuk seluruh negara dan melibatkan 41 buah lembangan sungai.

Menurutnya, maklumat unjuran data hidroiklim sehingga tahun 2100 terutamanya data taburan hujan akan digunakan dan berupaya membantu perancangan dan kesiapsiagaan awal untuk mengurangkan risiko bencana banjir seperti jangkaan episod hujan ekstrem pada masa hadapan.

Che Alias pada soalan asal meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan senarai kawasan hotspot yang telah dipasang sistem amaran awal bencana banjir seluruh negara sehingga tahun 2022 dan sejauh mana penggunaan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dapat mengurangkan risiko bencana banjir pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -