Kem PLKN boleh dijadikan pusat pemulihan dadah OKU

Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang sudah tidak digunakan lagi boleh dijadikan sebagai tempat pemulihan dadah bagi orang kurang upaya (OKU), kata Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi).

- Advertisement -

Beliau juga mencadangkan penggunaan hospital daerah untuk menempatkan golongan tersebut sementara waktu ketika waris tiada.

“Kami pernah mencadangkan agar pusat latihan khidmat negara (PLKN) digunakan untuk OKU ini ataupun di hospital daerah kerana di setiap hospital daerah terdapat kekosongan dan kadang-kadang ada bangunan yang kosong yang tidak dipakai.

“Ini kerana supaya ibu bapa anak-anak ini dapat melihat anak-anak mereka secara dekat, maklumlah mereka ini OKU dan kadang-kadang terpaksa pergi jauh,” katanya semasa mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga ingin mengetahui lebih lanjut mengenai bilangan OKU yang terlibat dengan dadah di seluruh negara yang ditempatkan di pusat yang disediakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Berapakah bilangan OKU yang terlibat dengan dadah di seluruh negara dan mengikut negeri-negeri yang mereka ditempatkan,” ujarnya.

Mohd Suhaimi berkata, pegawai yang mengendalikan kes berkenaan wajar diberi latihan khas bagaimana menguruskan golongan itu.

“Adakah kementerian bercadang untuk diberikan latihan kepada pegawai kerajaan bagi mengendalikan mereka kerana kita mendapat maklumat bahawa kekurangan pegawai-pegawai yang boleh mengendalikan mereka ini yang terlibat dengan dadah,” soalnya.

Pada soalan asal, beliau meminta Menteri Dalam Negeri, menyatakan hak rawatan OKU yang terlibat dalam masalah penagihan dadah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, sehingga kini, seramai 85 orang golongan OKU terlibat dengan dadah sedang mendapatkan rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) seluruh negara.

“Antara pusat yang memberi rawatan kepada mereka ialah di Bukit Chabang, Kampung Selamat, Benta dan beberapa tempat lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -