Peruntukan tambahan penting demi kesejahteraan rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan yakin peruntukan tambahan yang diumumkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

- Advertisement -

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri berterima kasih kerana memperolehi peruntukan tambahan sebanyak RM351 juta melalui Belanjawan 2023.

Katanya, peruntukan tambahan itu penting untuk kesejahteraan rakyat dan berharap akan dapat diteruskan pada masa yang akan datang.

“Saya harap agar Pasar Tok Kenali menjadi pemangkin kepada pertumbuhan kegiatan ekonomi dan menjadi contoh kepada pasar-pasar lain,” katanya pada sidang media selepas perasmian Pasar Tok Kenali, Binjai semalam.

Hadir sama Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Ketua Setiausaha KPKT Dato’ Azman Taib; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin.

Pasar Pembinaan Pasar Tok Kenali hasil kerjasama KPKT dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) bagi menyediakan kemudahan sosioekonomi kepada penduduk setempat.

Katanya ia melibatkan pembangunan semula bangunan pasar sedia ada dengan ruang niaga baharu yang terdiri daripada 29 gerai dan satu stor secara lebih teratur dan kondusif bagi keselesaan peniaga dan pengunjung.

Sementara itu, negeri ini menerima dana pembangunan daripada kerajaan persekutuan mencecah RM2.5 bilion pada Belanjawan 2023.

Nga Kor Ming berkata, negeri lain seperti Terengganu, Kedah dan Perlis turut mendapat peruntukan sebanyak RM6.2 bilion.

“Ini adalah sentuhan kasih sayang kerajaan persekutuan, semua negeri dilayan secara adil, tiada yang terpinggir dan tiada negeri yang tertinggal dari arus pembangunan. Banyak bantuan diberikan bermula tahun lepas,” katanya.

Menurutnya sebanyak RM4 juta diperuntuk KPKT dalam membangunkan Pasar Tok Kenali di kawasan seluas 3.47 ekar.

Kata beliau pembinaan kemudahan itu merupakan salah satu usaha KPKT dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB) bagi merancakkan lagi pembangunan sosio ekonomi penduduk.

Selain itu, terdapat pasar minggu dengan lantai terbuka bagi menempatkan 60 peniaga pada satu masa dan kemudahan awam seperti surau, tandas, rumah sampah dan tempat letak kereta. – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -