Pastikan tanam padi lima kali diteruskan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun yang dijalankan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) perlu diteruskan bagi meningkatkan pengeluaran beras negara.

Malah Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yakin negara tidak lagi perlu bergantung kepada beras import jika projek MADA dijalankan dengan baik.

- Advertisement -

“Sebelum ini, ketika saya diberi tanggungjawab mempengerusikan agensi ini, iaitu projek penanaman padi lima kali dua tahun, saya yakin projek ini amat wajar diteruskan oleh kementerian pada hari ini.

“Bagi meningkatkan hasil tahap sara diri (SSL) beras dan dalam kiraan jumlah kita dapat melaksanakan penanaman padi lima kali dua tahun sehingga dapat hasilkan lebih 120 peratus SSL negara.

“Kita yakin kalau projek ini dapat dijalankan dengan baik, kita tidak lagi perlu mengimport beras dari luar,” katanya semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Tarmizi menyarankan kerajaan supaya fokus terhadap perkara ini kerana MADA telah memulakan langkah ini dengan keluasan yang sudah ditanam sebanyak 1,240 hektar.

“Namun, saya lihat peruntukan yang diberikan kepada MADA nampak tidak mencukupi untuk melaksanakan projek ini apabila hanya menerima RM30.5 juta pada tahun ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -