Program pembangunan insan ajak anak muda hayati agama

Dato' Ustazah Siti Ashah Ghazali
- Advertisement -

ALOR SETAR: Program pembangunan insan yang dilaksanakan kerajaan negeri mendapat kerjasama pelbagai agensi dan sambutan orang ramai sangat menggalakkan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, setiap program yang dilaksana bermatlamat menjayakan moto Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.

Katanya antara program terbabit termasuk karnival, festival sunnah dan pelbagai lagi.

“Sebaliknya pembangkang menganggap sebagai ‘syok sendiri’. Dakwaan itu tidak berasas sama sekali.

“Adakah mereka (pembangkang) anggap ‘syok sendiri’ sedangkan program itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi dan sambutan begitu menggalakkan,” katanya ketika sesi pengulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Ketua Pembangkang Datuk Zamri Yusuf pada kenyataan media mendakwa program pembangunan insan yang dilaksanakan kerajaan negeri sekadar ‘syok sendiri’ kerana gagal menurunkan masalah sosial seperti penceraian dan penagihan ketum.

Siti Ashah juga berkata, penyertaan golongan muda pada setiap program yang dianjur terutama melibatkan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor seperti konvoi motosikal menunjukkan perkembangan positif.

Malah ujar beliau, pada program itu anak-anak muda diajak solat berjemaah.

“Menteri Besar juga sering mengingatkan anak-anak muda jangan tinggalkan solat. MB main bola pakai seluar panjang, tunjuk cara pemakaian yang dianjurkan Islam.

“Ini merupakan pendidikan secara tidak langsung. Dan memang tidak boleh diukur dengan mengaitkan dengan masalah sosial,” tambah beliau.

Beliau juga berkata, sokongan anak-anak muda sehingga memberi kemenangan besar kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu membuktikan program pembangunan insan berjaya.

Menurutnya juga masalah seperti penceraian berpunca daripada banyak faktor termasuk kurang kefahaman agama, kewangan dan lain-lain.

“Tak ada duit antara masalah rumahtangga tetapi rakyat minta keluarkan duit KWSP, Perdana Menteri tak bagi. Lepas tu suruh cagar duit sendiri untuk buat pinjaman bank.

“Malah tindakan kerajaan negeri tidak menyambung lesen premis judi juga dapat mengurangkan masalah penceraian yang berpunca dari aktiviti berkenaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -