1,475 unit kuarters kerajaan di Putrajaya kosong

Dr Radzi Jidin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kuarters-kuarters Kerajaan di Putrajaya dikawal selia oleh Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, mengikut semakan BPH sehingga 31 Januari 2023, sebanyak 1,475 unit Kuarters Kerajaan di Putrajaya yang kosong dan akan dibaiki daripada jumlah keseluruhan 22,007 unit kuarters di Putrajaya.

“Unit-unit kuarters ini bukannya dibiar atau tidak diselenggara, ianya adalah unit-unit kuartes kosong yang telah diserahkan semula oleh penghuni asal kepada BPH dan memerlukan proses pembaikan samada ianya melibatkan pembaikan ‘minor’ atau ‘major’ sebelum ditawarkan semula kepada penjawat awam yang memohon,” katanya dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Dr. Radzi Jidin [PN-Putrajaya] di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Radzi meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan kuarters kerajaan di Putrajaya yang tidak boleh diduduki akibat tidak diselenggara serta perancangan kerajaan untuk membaik pulih kuarters tersebut supaya boleh diduduki oleh penjawat awam yang bekerja di Putrajaya.

Menurut Armizan, kerajaan sentiasa memberikan perhatian terhadap isu itu dengan mengambil langkah memendekkan tempoh kerja pembaikan kuarters kosong agar lebih ramai penjawat awam khususnya di Putrajaya memperolehi kemudahan kediaman ini.

Katanya, bermula tahun 2020, BPH telah melaksana proses kerja pembaikan kuarters kosong menggunakan kaedah requisition manakala, mulai tahun 2022 pula, proses kerja pembaikan kuarters telah berjaya dipendekkan daripada 315 hari kepada 116 hari bermula dari proses tarikh pengosongan, pemeriksaan unit, pelantikan kontraktor, kerja pembaikan dan sehingga siap pembaikan.

Namun, ujarnya terdapat sesetengah unit kuarters kosong tersebut melibatkan kerosakan ‘major’ seperti keretakan serius, masalah kebocoran serta perpaipan yang serius dan sebagainya yang memerlukan pemeriksaan yang lebih terperinci oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi teknikal bagi pihak kerajaan.

Katanya, dalam tempoh pembaikan kuarters-kuarters kosong yang mengalami kersosakan major inilah yang kadang-kadang dilihat oleh sesetengah pihak sebagai kuarters yang dibiar dan tidak diselenggara kerana tempoh pembaikannya lebih lama iaitu dalam tempoh maksimum 365 hari.

“Tempoh pembaikan tersebut menjadi lebih panjang kerana ianya melibatkan prosedur kepakaran seperti penyiasatan forensik, khidmat pakar geoteknik, pemantauan keretakan aktif, proses perolehan dan kerja-kerja pembaikan di tapak,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -