Tekanan politik cetus PN bangkit dalam PRN

Tuan Ibrahim (dua dari kanan) dalam majlis pelancaran Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Ke-35 PAS Bandar Tun Razak, di Kuala Lumpur pada 12 Mac 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tekanan politik yang dihadapi Perikatan Nasional (PN) sekarang ini akan dijadikan sebagai pemangkin semangat untuk parti itu bangkit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, segala tekanan politik terhadap PN sekarang diharap akan dijadikan sebagai pemangkin semangat dan membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kezaliman pemimpin sekarang ini. 

- Advertisement -

Beliau berkata demikian kepada HarakahDaily ketika ditemui selepas merasmikan majlis pelancaran Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Ke-35 PAS Bandar Tun Razak, di Hotel Komune Living & Wellness Bandar Tun Razak, di sini, hari ini.

“Saya berharap Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden PN) dan mana-mana ahli PN terbabit dibebaskan daripada segala tuduhan dan tidak didakwa,” katanya. 

Muhyiddin akan didakwa di Mahkamah Sesyen 1, Shah Alam pada jam 9 pagi esok di hadapan Hakim Rozilah Salleh berhubung wang dalam akaun parti Bersatu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa jika sekalipun kerajaan sekarang ini akan berubah sifat, PAS istiqomah untuk menolak daripada bergabung memandangkan dalam kalangan gabungan parti kerajaan itu sendiri juga mempunyai pergolakan dalaman. 

Justeru, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa PAS akan bersama-sama PN dengan harapan jitu parti itu ialah semangat pencapaian besar yang dicapai dalam PRU15 sebelum ini akan dibawa ke dalam PRN kelak.

Sementara itu, antara agenda mesyuarat agung PAS Bandar Tun Razak pada kali ini termasuklah Pelancaran PASTI Ar-Raudhah 2 Dan Darul Tarbiyah & SRITI Darul Tarbiyah, diikuti perbincangan mengenai prestasi laporan kewangan dan cadangan penambahbaikan kewangan tersebut, selain pemilihan calon-calon bagi mengisi pelbagai  jawatan PAS cawangan Bandar Tun Razak.

Pada mesyuarat agung PAS Bandar Tun Razak kali ini, Haji Mustafa Abu Bakar terpilih sebagai Pengerusi Tetap, manakala jawatan Timbalan Pengerusi Tetap  disandang oleh Tuan Haji. Aziz  Abdul Wahab.

Jawatan Yang di-Pertua pula menyaksikan pelantikan Haji MD Shukor Aziz, manakala Dr Rosni Adam dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua; dan jawatan Naib Yang Di Pertua disandang Abdul Halid Basir.

“Saya berharap dengan pemilihan terbaharu ahli dalam jawatan-jawatan yang disandang dalam PAS cawangan Bandar Tun Razak melalui Majlis Mesyuarat Agung Ke-35  dapat menjalankan tugas yang besar ini dengan baik bagi merealisasikan misi PRN itu kelak,” kata Tuan Ibrahim. – HARAKAHDAILY 12/3/2023

 

- Advertisement -