Parti mana gagalkan negara dan halang kebangkitan Islam?

- Advertisement -

KEPALA BATAS: Wasiat Raja-raja Melayu dan para pemimpin semasa pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dahulu telah gagal didukung serta diharapkan kepada kerajaan dan parti pemerintah sebelum ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, kecuali Perikatan Nasional (PN) yang bersungguh-sungguh menunaikan tujuh wasiat telah ditandatangani persetujuannya pada 5 Ogos 1957 iaitu sebelum negara mencapai Kemerdekaan.

Sedangkan menurutnya, tujuh wasiat tersebut merupakan asas kepada tunjang penubuhan negara ini serta jaminan keamanan yang berterusan selagi ianya dihayati dan dipatuhi oleh seluruh rakyat Malaysia dan generasi pewarisnya.

ADUN Gunung Semanggol itu memberikan contoh Tanah Rizab Melayu yang semakin berkurangan hari ini, selain hak-hak istimewa Bumiputera termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kian terungkai di bawah barisan dan pakatan tersebut.

Beliau turut menyindir pihak berkenaan yang selalu menyanyikan lagu ‘Anak kecil main api’ tetapi hakikatnya mereka membakar dan memusnahkan harapan bangsa sepanjang memegang kuasa pemerintahan dan pentadbiran kerajaan.

Perkara tersebut dikemuka dan dikupas beliau ketika menyampaikan ucapan pada program Gelombang Hijau Pulau Pinang yang di langsung kan di Kompleks PAS Pulau Pinang, Pongsu Seribu, di sini semalam.

“Kini tekanan demi tekanan (politik) diberikan dan khusus kepada jemaah PAS (antaranya) dengan halangan dari berceramah dan berkhutbah di masjid. 

“Tetapi itu tidak akan dapat menghalang kebangkitan Islam, bahkan menjadi lumrah dan liku-liku perjuangan menegakkan kebenaran,” ujar beliau.

Jelas Razman, pusingan kebangkitan Islam sedang mencapai kemuncak dan bakal menyempurnakan pusingan kitaran 100 tahun pada tahun hadapan iaitu sejak kejatuhan Khalifah Uthmaniyyah pada tahun 1924. – HARAKAHDAILY 12/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -